Isnin, 2 Disember 2019 | 6:08pm
Skuad bola jaring memenangi emas selepas mengalahkan Singapura di final, hari ini.
Skuad bola jaring memenangi emas selepas mengalahkan Singapura di final, hari ini.

Bola jaring pertahan emas

 

MANILA: Skuad bola jaring mempertahankan pingat emas dimenangi dua tahun lalu selepas menewaskan musuh tradisi, Singapura 48-42 pada aksi final Sukan SEA 2019 di Kompleks Sukan Santa Rosa, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, aksi final itu menyaksikan Malaysia terpaksa bermandi peluh apabila diberi tentangan sengit oleh Singapura terutama di dua suku pertama sebelum mengesahkan kejuaraan.

Ini adalah emas ketiga buat skuad bola jaring negara dalam empat penampilan pada temasya dwitahunan itu.

Malaysia turut melebarkan rekod kemenangan ke atas Singapura kepada 12 perlawanan dalam saingan Sukan SEA dengan kali terakhir tewas ketika edisi 2015 yang menyaksikan Singapura menjadi tuan rumah.

Jurulatih negara, Tracey Robinson berkata dia hanya memberitahu pemainnya sebelum perlawanan untuk bermain dengan corak permainan mudah.

“Saya tidak terlalu bimbang dengan prestasi mereka kerana mereka mempunyai kemahiran individu yang tinggi. Saya beritahu pemain untuk gunakan kelebihan itu,” kata Tracey yang kontraknya sebagai jurulatih tamat sebaik beraksi saingan Sukan SEA kali ini.

Tracey memuji persembahan ditunjukkan dua pemainnya, An Najwa Azizan dan L Karishma yang tajam menjaringkan gol buat skuad negara.

“Sudah pasti pemain seperti Najwa dan Karisa bermain dengan cemerlang hari ini. Saya juga perlu memberikan pujian kepada pemain lain yang turut bermain dengan baik hari ini,” katanya.

Berita Harian X