Ahad, 1 Disember 2019 | 8:46pm
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik (tengah) bergambar bersama pemenang Nur Amira Izzati Khalid, (UITM) (kiri) Putra Syaid Hidayatullah Ramli, (UTHM) (dua dari kiri) Muhammad Amierul Ashraf Muhammad dari pasukan PST Malaysia (kanan) dan Nur Adilah Muhamad Zamri (dua dari kanan) bersama hadiah kemenangan masing-masing. NSTP/Adnan Ibrahim
MENTERI Pendidikan, Dr Maszlee Malik (tengah) bergambar bersama pemenang Nur Amira Izzati Khalid, (UITM) (kiri) Putra Syaid Hidayatullah Ramli, (UTHM) (dua dari kiri) Muhammad Amierul Ashraf Muhammad dari pasukan PST Malaysia (kanan) dan Nur Adilah Muhamad Zamri (dua dari kanan) bersama hadiah kemenangan masing-masing. NSTP/Adnan Ibrahim

UiTM, PST ungguli Kejohanan Silat Antarabangsa edisi ke-10

BATU PAHAT: Pasukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) dinobatkan juara keseluruhan peringkat Institut Pendidikan Tinggi (IPT) Tempatan pada Kejohanan Silat Antarabangsa dan Kejuaraan Silat Seni Asli Terbuka Edisi ke-10, hari ini. 

Pada saingan yang berakhir semalam di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), UiTM cemerlang membawa pulang 12 Emas, 2 Perak dan 2 Gangsa daripada 108 pingat yang dipertandingkan.

Dalam kejohanan sama, Pasukan Pusat Sukan Tumpuan (PST) Malaysia turut bergelar juara peringkat Institut Pendidikan Tinggi (IPT) Antarabangsa apabila mengumpul 11 Emas, 2 Perak dan 2 Gangsa daripada 74 pingat yang dipertandingkan.

Unit Sukan, Cawangan Operasi Strategik, Bahagian Perancangan dan Penyelarasan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkata dalam satu kenyataan berkata, kejohanan selama enam hari bermula 25 November lalu itu mempertemukan 70 pasukan terdiri daripada 10 pasukan bagi kategori IPT Antarabangsa.

Dalam kategori IPT Tempatan sebanyak 27 pasukan turut serta selain 37 pasukan bagi kategori Silat Seni Asli Terbuka yang membabitkan penyertaan daripada enam buah negara iaitu Thailand, Singapura, Indonesia, Belanda, Yaman dan Malaysia.

"Untuk kategori individu, peserta tuan rumah, Putra Syaid Hidayatullah Ramli dari UTHM dianugerahkan sebagai Pesilat Terbaik Putra peringkat IPT Tempatan manakala Nur Amira Izzati Khalid dari UiTM terpilih sebagai peserta Terbaik Putri.

"Bagi kategori IPT Antarabangsa, Muhammad Amierul Ashraf Muhammad dari pasukan PST Malaysia diangkat sebagai Pesilat Terbaik Putra manakala Nur Adilah Muhamad Zamri juga dari pasukan PST Malaysia terpilih sebagai Pesilat Terbaik Putri.”

Menurut kenyataan itu, KPM akan sentiasa memberikan sokongan penuh kepada penganjuran kejohanan sukan yang membantu kepada pembangunan sukan di IPT.

"Dengan adanya penganjuran seperti ini dilihat mampu meneruskan kecemerlangan prestasi atlet negara di peringkat tertinggi bukan hanya di peringkat Sukan Universiti ASEAN dan Sukan Universiti Dunia.

"Malah ramai juga atlet daripada IPT yang terbabit dalam Sukan Sea, Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Sukan Olimpik," katanya.

Berita Harian X