Ahad, 1 Disember 2019 | 8:27pm
Jurulatih Skuad bola jaring negara, Tracey Robinson. NSTP/Owee Ah Chun.
Jurulatih Skuad bola jaring negara, Tracey Robinson. NSTP/Owee Ah Chun.

Tracey kecewa aksi pemain kelam kabut

MANILA: Skuad bola jaring negara diingatkan tidak mengulangi kesilapan sama apabila bertemu Singapura pada aksi final Sukan SEA 2019 di Kompleks Sukan Sta Rosa di sini, esok.

Barisan negara nyaris dihukum susulan prestasi longlai sebelum menewaskan Brunei 64-40 pada aksi separuh akhir, hari ini.

Jurulatih negara, Tracey Robinson nyata tidak gembira dengan prestasi ditunjukkan pemainnya yang gagal mengikut taktikal ditetapkan dalam perlawanan itu.

“Permainan hari ini kelam kabut dan kami tidak berada pada tahap prestasi terbaik. Perkara seperti ini tidak boleh berulang apabila kami beraksi dalam final esok,” kata Tracey selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, Singapura mara ke final selepas menewaskan Thailand 61-31 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Atas kertas, kelebihan psikologi nyata memihak skuad negara menjelang aksi final itu yang mana mereka bukan saja tampil sebagai juara bertahan tetapi turut menewaskan Singapura pada pusingan awal.

Malah, edisi 2017 di Kuala Lumpur menyaksikan Malaysia menundukkan Singapura dalam aksi final untuk memenangi  emas.

Berita Harian X