Jumaat, 29 November 2019 | 7:12pm
PASUKAN Bola Jaring Malaysia selepas acara Bola Jaring Wanita di Kompleks Serbaguna Santa Rosa. - Foto BERNAMA
PASUKAN Bola Jaring Malaysia selepas acara Bola Jaring Wanita di Kompleks Serbaguna Santa Rosa. - Foto BERNAMA

Skuad bola jaring benam Singapura

MANILA: Skuad bola jaring negara menjelmakan petanda positif dalam misi mempertahan pingat emas Sukan SEA yang dimenangi dua tahun lalu di Kuala Lumpur.

Ini selepas Malaysia berjaya menumbangkan musuh tradisi, Singapura 54-49 dalam aksi terakhir pusingan awal Sukan SEA 2019 di Kompleks Sukan Sta Rosa di sini, hari ini.

Kemenangan itu membolehkan skuad bimbingan Tracey Robinson muncul juara pusingan awal yang dijalankan secara liga sepusingan selepas menang semua empat perlawanan termasuk menewaskan Filipina, Indonesia dan Brunei.

Selaku juara, skuad negara akan berdepan pasukan yang menamatkan saingan di kedudukan keempat carta, Brunei untuk aksi separuh akhir, Ahad ini.

“Saya gembira dengan kemenangan hari ini cuma kami perlu perbaiki kelemahan yang mana kami agak leka ketika suku keempat permainan sehingga membolehkan Singapura merapatkan kedudukan.

“Kami tidak boleh ulangi kesilapan itu yang kami perlu konsisten sepanjang perlawanan.

“Kami akan bertemu Brunei untuk aksi separuh akhir dan saya harap pemain terus mempamerkan prestasi terbaik mereka,” kata Tracey selepas tamat perlawanan.

Sementara itu, Singapura yang menamatkan pusingan awal selaku naib juara akan bertemu Thailand yang berada di kedudukan ketiga dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Jika semua berjalan lancar, Malaysia dijangka bertemu Singapura sekali lagi di pentas final yang akan berlangsung Isnin ini.

Senarai acara, pingat ditawar dan sasaran kontinjen Malaysia.

Berita Harian X