Rabu, 27 November 2019 | 1:29pm
Pemain Malaysia, Nur Firra Syuhada (mengasak) pemain Filipina pada perlawanan peringkat awalan acara Bola Jaring Sukan SEA Filipinan di Santa Rosa Laguna, semalam. - Foto Osman Adnan
Pemain Malaysia, Nur Firra Syuhada (mengasak) pemain Filipina pada perlawanan peringkat awalan acara Bola Jaring Sukan SEA Filipinan di Santa Rosa Laguna, semalam. - Foto Osman Adnan

Skuad bola jaring waspada ancaman Brunei

MANILA: Skuad bola jaring negara tetap berwaspada dengan ancaman Brunei menjelang pertemuan dengan lawan itu untuk aksi ketiga pusingan awal di Kompleks Sukan Sta Rosa, esok.

Jurulatih negara, Tracey Robinson berkata peningkatan prestasi yang ditunjukkan pemain Brunei membuatkan Malaysia tidak boleh terlalu selesa biarpun tampil dengan status sebagai pasukan pilihan dan juara bertahan.

“Kami sudah menyaksikan perlawanan Brunei, biarpun mereka tewas kepada Thailand namun mereka tunjukkan peningkatan dan bermain dengan baik.

“Jadi, saya ingatkan pemain untuk tidak ambil mudah perlawanan dengan Brunei.

“Mereka perlu kekal fokus untuk kita mencatat kemenangan ketiga pula,” kata Tracey yang menyaksikan sudah melakar dua kemenangan berturut-turut.

Dua kemenangan itu meletakkan Malaysia di landasan terbaik untuk mara ke separuh akhir dengan aksi terakhir bertemu Singapura dijangka menjadi penentu siapa muncul juara pusingan awal yang dijalankan secara liga sepusingan.

Skuad negara cemerlang apabila menundukkam Thailand 62-42 pada aksi pertama sebelum membelasah tuan rumah, Filipina 88-25, semalam.

Hanya empat pasukan terbaik pusingan awal layak ke separuh akhir dengan juara akan menentang penghuni tangga keempat manakala naib juara bertemu pasukan tangga ketiga.

Berita Harian X