Khamis, 21 November 2019 | 12:54pm

Malaysia sasar 70 emas di Filipina

KUALA LUMPUR: Kontinjen Malaysia meletakkan sasaran meraih 70 pingat emas pada Sukan SEA 2019 di Filipina yang akan membuka tirai secara rasmi 30 November ini.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata jika sasaran berjaya dicapai ia akan mengatasi pencapaian terbaik kontinjen negara di luar Kuala Lumpur iaitu Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand yang menyaksikan Malaysia meraih 68 emas.

“Berdasarkan kepada bengkel penetapan sasaran diadakan pada 5 dan 6 November lalu bersama semua pemegang taruh, kontinjen negara dijangka memenangi 70 emas, 51 perak dan 105 gangsa.

“Sasaran ini dijangka meletakkan kontinjen negera di kedudukan keempat terbaik keseluruhan di kalangan 11 negara Asia Tenggara yang bertanding,” katanya ketika sidang media selepas menyempurnakan upacara penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara, hari ini.

Syed Saddiq menyerahkan Jalur Gemilang kepada Megat Zulkarnain (kanan) pada majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019 di Bangi. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli
Syed Saddiq menyerahkan Jalur Gemilang kepada Megat Zulkarnain (kanan) pada majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019 di Bangi. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli

Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin; Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim; Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan ketua kontinjen Malaysia, Datuk Megat Zulkarnain Omardin.

Sementara itu, atlet tenpin boling negara, Rafiq Ismail dinamakan sebagai pembawa Jalur Gemilang buat kontinjen Malaysia di Filipina nanti.

Kontinjen negara kali ini diwakili 773 atlet dan 339 pegawai yang akan mengambil bahagian dalam 52 daripada 56 jenis sukan dipertandingkan.

Syed Saddiq (tengah) bersama kontinjen Malaysia melaungkan sorakan semangat pada majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019 di Bangi. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli
Syed Saddiq (tengah) bersama kontinjen Malaysia melaungkan sorakan semangat pada majlis Penyerahan Jalur Gemilang kepada kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019 di Bangi. - NSTP/Zulfadhli Zulkifli
Berita Harian X