Khamis, 7 November 2019 | 9:38pm
Gambar fail, Atlet Triathlon, Aimi Iwasaki pada sidang media pasukan Triathlon Team MALAYSIA ke Sukan SEA 2019, di House of Champions, Lobi MSN, Bukit Jalil. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Aimi tak mahu menyesal kemudian hari

KUALA LUMPUR: Tampil kali pertama pada temasya Sukan SEA, atlet triatlon berdarah campuran Malaysia-Jepun, Aimi Iwasaki Muhammad Moritoshi menegaskan dia mahu lakukan yang terbaik agar tidak menyesal di kemudian hari.

Bekas pelumba basikal kebangsaan ini berkata, dia melalui laluan berliku untuk kembali semula menggalas cabaran negara apabila mengalami kecederaan lutut sebelum temasya Sukan SEA 2017 (KL2017) bermula.

“Saya lalui banyak halangan dari segi persiapan kerana sebelum ini saya pernah mewakili negara dalam sukan berbasikal, tetapi selepas terpilih saya cedera, jadi saya berhenti selama dua tahun.

“Untuk bangkit semula sangat mencabar dari segi mental dan fizikal. Jadi, kali ini saya cuba untuk lakukan apa saja supaya tidak menyesal kerana saya paling takut lalai dalam persiapan.

“Saya harus ingat tanggungjawab dan yakin pasukan ini kuat sekali gus berdoa moga sasaran kami tercapai,” kata Aimi pada sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN), dekat sini, hari ini.

Ketika bergelar pelumba basikal negara, Aimi pernah menamatkan saingan Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC), India 2013 dalam kedudukan 10 terbaik acara lebuh raya serta kedudukan 10 terbaik ACC Jepun 2016 menerusi acara ujian masa.

Pada Kejohanan Antarabangsa Triatlon Singapura hujung September lalu, atlet berusia 24 tahun dari Pulau Pinang itu menamatkan saingan acara Olympic Distance di tempat kedua.

Untuk temasya di Filipina nanti, Aimi menyertai dua acara iaitu Super Sprint Mixed Relay dan Olympic Distance.

Sementara itu, pengurus pasukan, Ungku Azhar Ungku Maznan berkata seramai 12 atlet disenaraikan menyertai temasya dwitahunan itu dengan 11 daripadanya adalah muka baharu.

Katanya, sebanyak enam acara disertai dan saingan sengit dijangka diberikan Singapura, Indonesia dan tuan rumah, Filipina yang juga negara terkuat di rantau Asia Tenggara.

 

Berita Harian X