Selasa, 5 November 2019 | 8:11pm
PEMAIN WP KL, Nuradila Azman diasak pemain Johor pada perlawanan separuh akhir Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan ke-41, 2019 di Stadium Juara, Bukit Kiara. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
PEMAIN WP KL, Nuradila Azman diasak pemain Johor pada perlawanan separuh akhir Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan ke-41, 2019 di Stadium Juara, Bukit Kiara. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

WP KL, Perak berentap di final bola jaring kebangsaan

KUALA LUMPUR: Seperti dijangka pasukan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WP KL) tidak berdepan masalah menempah tiket ke pusingan akhir Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan ke-41 untuk menentang Perak, di Bukit Kiara, di sini, esok.

WP KL yang mendahului Kumpulan A dengan memenangi ketiga-tiga perlawanan pusingan kelayakan, bermula agak perlahan dalam perlawanan separuh akhir pertama hari ini apabila menamatkan separuh masa pertama dengan mencatatkan 21 mata berbanding lawannya, Johor yang memberikan tentangan sengit 12 mata.

Separuh masa kedua pula menyaksikan kebangkitan WP KL yang membariskan pemai bawah 21 tahun untuk terus unggul dengan memastikan kejayaan 44-26.

PEMAIN Johor, Nur Nadhirah Roslan diasak pemain Kuala Lumpur pada perlawanan separuh akhir Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan ke-41, 2019 di Stadium Juara, Bukit Kiara. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
PEMAIN Johor, Nur Nadhirah Roslan diasak pemain Kuala Lumpur pada perlawanan separuh akhir Kejohanan Bola Jaring Kebangsaan ke-41, 2019 di Stadium Juara, Bukit Kiara. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Jurulatih WP KL, Norizan Rajab berkata beliau sudah mengkaji taktikal pasukan lawan selain sudah menjangkakan Perak akan mara ke final.

"Perak mempunyai sistem permainan yang menarik dan saya menjangkakan mereka akan ke final.

"Biarpun kami menewaskan Perak dalam pusingan kelayakan semalam, kami tidak mahu terlalu yakin dan mahukan pemain bermain berusaha keras bagi mempertahankan kejuaraan," katanya kepada Sukan BH di Stadium Juara, Bukit Kiara di sini hari ini.

Satu lagi perlawanan separuh akhir menyaksikan perlawanan sengit antara Terengganu dan Perak namun Perak yang juga naib juara Kumpulan A akhirnya mencatat kejayaan dengan 35-32 untuk ke final.

Berita Harian X