Ahad, 27 Oktober 2019 | 7:24pm
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad bergambar kenangan bersama peserta yang menyertai Karnival Sukan Setiawangsa bersempena Bulan Sukan Negara anjuran Kelab Bola Sepak Setiawangsa Rangers.
Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad bergambar kenangan bersama peserta yang menyertai Karnival Sukan Setiawangsa bersempena Bulan Sukan Negara anjuran Kelab Bola Sepak Setiawangsa Rangers.

2,000 meriahkan Karnival Sukan Setiawangsa

KUALA LUMPUR: Karnival Sukan Setiawangsa yang dianjurkan Kelab Bola Sepak Setiawangsa Rangers bersempena Bulan Sukan Negara, semalam meriah apabila lebih 2,000 peserta menyertainya.

Ahli Parlimen Setiawangsa merangkap Penaung Setiawangsa Rangers, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, beliau gembira dengan sambutan menggalakkan itu dan bercadang menjadikan karnival berkenaan sebagai acara tahunan.

“Saya sangat berpuashati dengan sambutan yang diberikan peserta khususnya penduduk Setiawangsa, apatah lagi, ini adalah karnival sukan pertama yang dianjurkan di Parlimen Setiawangsa.

“Berdasarkan sambutan menggalakkan ini, saya bercadang menjadikannya acara tahunan dan pada tahun depan saya harap lebih banyak acara akan dipertandingkan terutama membabitkan acara sukan untuk golongan wanita,” katanya.

Karnival sehari itu membabitkan pelbagai acara termasuklah Fun Run 5 kilometer, karnival bola sepak 7 sebelah bawah 12 tahun, pertandingan basikal tolak kanak-kanak dan pertandingan bola keranjang 3 sebelah.

Selain pertandingan sukan, pelbagai acara sampingan diadakan termasuklah pameran daripada agensi kerajaan, jualan foodtruck, persembahan artis dan juga cabutan bertuah kepada peserta.

Sementara itu, Presiden Setiawangsa Rangers  Khushairi Aizad Jamalludin terkejut dengan sambutan meriah peserta terhadap karnival berkenaan.

“Daripada sesi borak santai bersama peserta, ramai yang berpuashati dan berharap karnival ini akan diadakan lagi tahun depan.

“Jadi, kami akan mula merancang untuk menjadikan karnival ini lebih meriah dan mampu menarik lebih ramai peserta,” katanya.

Berita Harian X