Sabtu, 26 Oktober 2019 | 10:44pm
Pemain boling negara, Shalin Zulkifli. - NSTP/Danial Saad
Pemain boling negara, Shalin Zulkifli. - NSTP/Danial Saad

Malaysia raih 2 lagi emas boling Asia

KUALA LUMPUR: Skuad boling negara terus mengharumkan nama Malaysia di Kejohanan Tenpin Boling Asia ke-25 di Kuwait apabila merangkul dua lagi pingat emas, sebentar tadi.

Pingat kejuaraan ketiga dan keempat itu menerusi acara trio lelaki serta wanita. Sebelum ini, dua emas negara masing-masing diperoleh menerusi Timmy Tan yang mempertahankan acara perseorangan lelaki dan Shalin Zulkifli untuk wanita.

Timmy Tan meraih pingat emas kedua peribadinya pada Kejohanan Tenpin Boling Asia di Salmiya. - Arkib NSTP
Timmy Tan meraih pingat emas kedua peribadinya pada Kejohanan Tenpin Boling Asia di Salmiya. - Arkib NSTP

Emas trio wanita diperoleh menerusi gandingan Shalin, Sin Li Jane dan Esther Cheah yang mencatatkan sebanyak 4,534 jatuhan pin selepas beraksi selama dua hari, bagi mengenepikan cabaran dua pasukan Korea Selatan yang terpaksa berpuas hati di tangga kedua dan ketiga dengan masing-masing melakukan 4,331 jatuhan pin dan 4,297 jatuhan pin.

Kejayaan mereka itu kemudian diteruskan gandingan Mohd Rafiq Ismail, Syafiq Ridhwan Abdul Malek dan Ahmad Muaz Fishol yang melakukan 4,290 jatuhan pin mengatasi pasukan Kuwait yang mencatat 4,280 jatuhan pin. Tempat ketiga menjadi milik wakil negara, Hafiz Zainuddin, Timmy Tan dan Tun Ameerul Hakim Tun Hasnul Azam dengan 4,246 jatuhan pin.

“Saya rasa bagai dibuai mimpi kerana Kuwait perlu menjatuhkan 655 jatuhan pin untuk mengejar kami tetapi mereka mendapat lane yang berterabur, mereka tertekan, mereka perlu strike untuk menang tetapi tidak bejaya. Saya gembira malam ini boleh tidur lena,” kata Rafiq.

Shalin yang sebelum ini menjulang emas acara perseorangan, mengakui banyak terhutang budi kepada Esther dan Li Jane yang membantunya dalam aksi semalam.

“Alhamdulillah, dapat emas untuk pasukan. Esther dan Li Jane banyak bantu saya semalam. Hari ini saya berjaya recover. Saya rasa bersyukur, akan teruskan semangat untuk dapatkan pingat emas dalam acara berpasukan,” kata Shalin.

Bagi jurulatih Holloway Cheah, beliau berbangga apabila pasukan lelaki akhirnya meraih sesuatu dalam kejohanan ini.

“Kini saya menantikan acara berpasukan dan saya harapkan pasukan lelaki dan wanita boleh memenanginya,” katanya.

Berita Harian X