Rabu, 23 Oktober 2019 | 7:39pm

Timmy pertahan emas kejohanan boling Asia di Kuwait

KUALA LUMPUR: Skuad boling negara terus mengharumkan nama Malaysia di Kuwait, apabila Timmy Tan mempertahankan pingat emas acara perseorangan lelaki pada Kejohanan Tenpin Boling Asia edisi ke-25 di Salmiya, hari ini.

Kejayaan Timmy, 25, tambah manis apabila berjaya merekodkan permainan sempurna pada game keenam yang juga yang terakhir bagi membawanya kepada gelaran juara selepas mengumpulkan sebanyak 1,556 jatuhan pin.

Pemain India, Dhruv Sarda yang mengumpul 1,524 mata berada di tempat kedua manakala wakil Jepun, Shusaku Asato yang ketinggalan tiga jatuhan pin membawa pulang gangsa.

Seorang lagi pemain negara, Hafiz Zainuddin berjaya melakukan permainan sempurna pada permainan kelima terpaksa berpuas hati di tempat keempat selepas mengumpul 1,512 pin dalam saingan di Pusat Boling Kuwait itu.

Kejayaan Timmy juga menjadikan keseluruhan dua pingat emas yang dimenangi skuad boling negara setakat ini selepas Shalin Zulkifli menghadiahkan pingat pertama dalam acara perseorangan wanita semalam. Sin Li Jane pula menyumbang satu pingat gangsa.

Pada kejohanan sama di Hong Kong tiga tahun lalu, Timmy memenangi pingat emas pada hari pembukaan untuk sekali gus berjaya membantu skuad boling negara mengumpul keseluruhan tiga emas, dua perak dan empat gangsa.

Kejayaan itu membolehkan Malaysia muncul negara kedua terbaik keseluruhan pada kejohanan berkenaan, di belakang Korea Selatan yang membawa pulang tiga emas, empat perak dan dua gangsa.

Setiausaha Agung Kongres Tenpin Bowling Malaysia (MTBC), Maradona Chok mengesahkan pencapaian cemerlang Timmy itu ketika dihubungi di Kuwait.

"Timmy berjaya mempertahankan pingat emas yang dimenanginya pada edisi lalu. Saya rasa tak ramai pemain Asia yang melakukan itu dan saya tak pasti jika ada pemain yang berjaya memenangi emas dua edisi berturut-turut seperti Timmy," katanya.

Rekod pemenang terdahulu yang dipaparkan dalam laman web Persekutuan Boling Asia (ABF) bagaimanapun hanya memaparkan pemenang terdahulu dari edisi ke-15 pada tahun 1998 hinggalah yang terkini.

Tiada seorang pun pemenang perseorangan lelaki atau pun perempuan yang berjaya memenangi emas dua edisi berturut-turut.

Timmy Tan mempertahankan pingat emas acara perseorangan lelaki pada Kejohanan Tenpin Boling Asia edisi ke-25, hari ini.
Timmy Tan mempertahankan pingat emas acara perseorangan lelaki pada Kejohanan Tenpin Boling Asia edisi ke-25, hari ini.
Berita Harian X