Rabu, 23 Oktober 2019 | 10:47am
SHALIN Zulkifli

Air mata emas Shalin tertumpah di Kuwait

KUALA LUMPUR: KUALA LUMPUR: Biarpun sebelum ini pernah tiga kali menjulang gelaran dunia, air mata ratu boling negara, Shalin Zulkifli yang merangkul pingat emas acara individu Kejohanan Tenpin Boling Asia di Kuwait semalam menceritakan kepuasan dirinya selepas berdepan pelbagai dugaan yang ditempuhi sepanjang tahun ini.

Pada usianya 41 tahun, Shalin membuktikan sentuhannya masih berbisa pada hari pertama Kejohanan Tenpin Boling Asia berlangsung di Kuwait Bowling Sporting Club semalam dengan Shalin dinobatkan juara Asia selepas mengumpul 1,498 mata untuk menewaskan pemain Indonesia, Nadia Pramanik Nuramalina (1,492) sementara gangsa dimenangi rakan senegara, Sin Li Jane (1,471).

"Saya menangis sebab terharu dan tak sangka dapat memenangi emas kerana jangkaan awal saya hanyalah berada di kedudukan podium sahaja.

"Saya juga menitiskan air mata apabila teringat kembali pelbagai dugaan yang menimpa saya pada tahun ini daripada tidak disenaraikan Kejohanan Wanita Dunia (Ogos lalu), dengan kecederaan yang menimpa serta perjuangan sengit untuk mendapatkan tempat ke Sukan SEA pada kali ini," katanya kepada BH di sini hari ini.

Shalin yang sudah hampir 30 tahun aktif di dalam sukan boling, berkata kejayaan semalam itu lebih manis apabila kali terakhir beliau menenangi pingat emas acara perseorangan Asia pada 25 tahun lalu di Guam.

Beliau juga berkata kali terakhir memenangi pingat emas acara perseorangan dalam kejohanan rasmi adalah pada dua tahun lalu apabila merangkul emas acara Masters pada Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur.

Ketika ditanya peluangnya untuk disenaraikan ke Sukan SEA pada di Manila pada 30 November hingga 11 Disember ini, Shalin berkata: "Insya Allah saya hanya berusaha dan yang lainnya Allah tentukan (sama ada disenaraikan ke skuad Sukan SEA)".

Buat masa ini, hanya juara dunia 2018, Muhammad Rafiq Ismail dan Sin Li Jane sudah disenarai ke Sukan SEA di Manila namun tiga lagi atlet lelaki dan wanita masih belum diputuskan dengan pemilihan kali ini lebih sengit apabila tuan rumah, Filipina menetapkan hanya empat pemain dalam setiap kategori lelaki dan wanita bertanding berbanding enam pemain dalam setiap kategori pada temasya lalu.

Shalin yang kini mengumpul 20 pingat emas pada sepanjang penyertaannya di Sukan SEA, kini berada di belakang rekod bekas ratu renang negara, Nurul Huda Abdullah sebagai pemenang pingat emas terbanyak iaitu 22 emas sepanjang penyertaan pada Sukan SEA antara 1983 hingga 1989.

Berita Harian X