Selasa, 22 Oktober 2019 | 7:16pm
Gambar fail, ketua jurulatih merangkap ketua pasukan Dodgeball Malaysia, Muhammad Heidy Mohd Yusoff. - Foto Owee Ah Chun

Pasukan dodgeball mahu pertahan Kejuaraan ADC

KUALA LUMPUR: Malaysia tekad mahu pertahan kejuaraan pada Kejohanan Dodgeball Asia (ADC) 2019 di Hong Kong sekali gus melayakkan diri ke Piala Dunia Dodgeball 2020 di Kaherah, Mesir.

Terdahulu, pada edisi 2017 ketika Malaysia menjadi tuan rumah (tukar nama dari Kejohanan Dodgeball Asia Pasifik), pasukan dodgeball negara meraih tiga kejuaraan melalui kategori iaitu berpasukan campuran, berpasukan lelaki dan berpasukan wanita.

Jurulatih pasukan lelaki negara, Muhammad Heidy Mohd Yusoff berkata pasukannya telah membuat persiapan sejak lapan bulan lalu di Kompleks Sukan Negara Shah Alam (Panasonic).

"Kami bermula sebagai underdog dan sekarang untuk Kejohanan Dodgeball Asia kami akan mempertahankan ketiga-tiga kategori dan ia bukan tugas yang mudah untuk kami.

"Latihan adalah yang paling mencabar memandangkan kami pemain semi pro dan kami semua mempunyai pekerjaan sendiri. Selepas pukul 5 petang, kami perlu berlatih sehingga jam 12 tengah malam,” katanya kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan Jalur Gemilang kepada pasukan dodgeball Malaysia ke ADC 2019 oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. 

Kontinjen negara seramai 59 orang terdiri daripada pemain dan pegawai akan berlepas ke Hong Kong esok.

Malaysia akan menyertai empat kategori iaitu berpasukan lelaki, berpasukan wanita, berpasukan campuran dan berpasukan bawah 21 tahun. Selain  Malaysia, negara lain yang turut menyertai kejohanan itu ialah Singapura, Australia, Filipina, Brunei, Taiwan dan Hong Kong. - Bernama

Berita Harian X