Selasa, 22 Oktober 2019 | 1:33pm
JAGUH trek berbasikal negara, Azizulhasni Awang. - Foto Eizairi Shamsudin

'Kayuhan Azizulhasni memang gila'

KUALA LUMPUR: “Betul memang saya gila”.

Itu adalah luahan hati jaguh trek berbasikal negara, Azizulhasni Awang selepas merangkul gelaran ke-10 buat dirinya pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia ke-40 di Veldorom Jincheon National Training Center di Korea Selatan yang berakhir semalam dengan membawa pulang satu pingat emas acara pecut dan satu perak keirin.

Saingan pusingan akhir acara pecut yang menyaksikan The Pocket Rocketman itu menewaskan pelumba Jepun, Yuta Wakimoto masih tidak boleh dilupakan dengan perlumbaan pusingan pertama menyaksikan beliau tewas tipis kepada Wakimoto sebelum bangkit untuk merekodkan catatan 9.824 saat pada pusingan kedua untuk membolehkannya ke pusingan penentuan dan seterusnya mempertahankan pingat emas sebagai Raja Pecut Asia.

"Selepas kalah tipis pada pusingan pertama, saya kehabisan tenaga dan kepenatan. Disebabkan badan yang penuh dengan asid laktik hasil daripada kerahan pecutan tadi, saya terus ke tandas dan muntah.

“Saya cuba mengawal pernafasan dan buat segala cara untuk pulih seperti biasa.

“Terus terlintas di benak fikiran, pertarungan kali ini adalah untuk merebut takhta juara Asia peribadi saya buat kali ke-10.

“Satu pencapaian yang belum pernah dicapai orang lain lagi dan paling penting itu adalah impian dan misi peribadi saya.

"Saya bercakap dengan diri sendiri, memberitahu otak supaya jangan mengalah dan jangan biarkan musuh anda merampas impian tersebut," katanya dalam catatan Facebook milik pelumba itu yang menulis tajuk The Man Who Refused To Be Beaten (Lelaki itu yang enggan tunduk) hari ini.

Memasuki pusingan kedua, pelumba berasal dari Dungun, Terengganu dan berumur 31 tahun itu berkata lawannya, Wakimoto menggunakan 'pace' (rentak kayuhan) yang tinggi daripada awal perlumbaan bagi menghalangnya untuk memenangi pusingan itu.

"Disebabkan ‘pace’ yang tinggi saya perlu tunggu ke selekoh terakhir untuk memotong kerana banyak faktor yang terlibat. Bila memecut bersebelahan, faktor rintangan angin pula akan memperlahan kayuhan kita.

"Jadi selepas mengerahkan segala kudrat yang ada, saya memenangi perlumbaan tersebut dan kami akan ke pusingan penentuan. Oh lupa nak beritahu, catatan masa perlumbaan sengit itu adalah 9.824 saat. Kalau anda bukan pelumba, reaksi nya adalah ‘hurmm okay’.

"Tetapi reaksi bagi seorang pelumba adalah seperti cerita ‘The Mask’ kalau anda masih ingat... kedua biji mata terkeluar, mulut terbukak luas, ‘jaw dropping’ dan lidah terkeluar habis. Sangat laju.

"Dalam dunia pecut memecut ni, kalau catatan masa dia di bawah 10 saat memang orang katakan itu kerja orang gila. Orang normal tak boleh buat. Dan, ya betul memang saya gila pun. Tapi saya gila waktu berlumba je," katanya.

Berita Harian X