Isnin, 21 Oktober 2019 | 5:23pm
TIMBALAN CDM ke Sukan SEA Filipina 2019, Ahmad Faedzal Md. Ramli pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa pemilihan Sukan SEA 2019 di Wisma MOM. NSTP/Owee Ah Chun.

70 peratus atlet Sukan SEA sudah dapat suntikan vaksin

KUALA LUMPUR: Hampir 70 peratus atlet negara ke Sukan SEA Filipina 2019 bulan depan sudah mendapat suntikan vaksin dan menjalani pemeriksaan kesihatan penuh, kata Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli.

Katanya, 20 peratus lagi dalam tempoh dua minggu lagi manakala baki 10 peratus yang kebanyakkan sedang menjalani latihan di luar negara, digalakkan berbuat demikian, selewat-lewatnya tiga minggu sebelum temasya bermula dari 30 November hingga 11 Disember ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019, berkata, atlet kebangsaan yang terus terbang ke Filipina daripada luar negara, turut diarahkan mendapatkan suntikan vaksin di negara berkenaan, namun perlu melaporkan perkara itu kepada pegawai ISN untuk tujuan pengesahan rekod.

Ahmad Faedzal berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melawat skuad bola keranjang lelaki dan wanita negara di Wisma MABA, di sini, hari ini.

Acara bola sepak menjadi acara pertama membuka gelanggang pada 25 November ini di Manila.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan Agensi Antidoping Malaysia (Adamas) telah mengambil 200 sampel atlet bagi memastikan mereka bebas daripada penggunaan bahan terlarang sebelum bertanding pada Sukan SEA 2019.

“Kita akan maklumkan kepada pengurus pasukan sukan masing-masing, terutamanya pada kem latihan pusat fasa akhir nanti mengenai kepentingan atlet kebangsaan untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mengenai ujian antidoping di Filipina nanti, termasuk TUE di mana mungkin ada sebahagian atlet yang mengambil ubat-ubatan,” katanya.

Menurut kod Jawatankuasa Antidoping Dunia (WADA), seseorang atlet yang perlu menggunakan ubat yang kebetulan termasuk dalam senarai bahan dilarang untuk merawat penyakit atau keadaan, perlu mengemukakan Pengecualian Penggunaan Terapeutik (TUE) kepada penganjur.

Sementara itu, Ahmad Faedzal berkata, beliau bersama seorang lagi timbalan kontinjen, Nurul Huda Abdullah dan ketua kontinjen, Datuk Megat Zulkarnain Omardin akan membangkitkan beberapa perkara pada mesyuarat terakhir Ketua Kontinjen Sukan SEA 2019 di Manila dari 28 hingga 30 Oktober ini.

Antara perkara yang bakal dibangkitkan adalah persiapan venue, pergerakan kontinjen, makanan halal, selain persediaan tuan rumah untuk menganjurkan Sukan SEA 2019 berjalan lancar.

Sukan SEA 2019 membabitkan 56 acara di tiga kluster, iaitu, Manila, Clark dan Subic.

-- BERNAMA

Berita Harian X