Ahad, 20 Oktober 2019 | 7:40pm

PSM kurangkan hukuman bekas tekong

CYBERJAYA: Hukuman penggantungan ke atas dua bekas tekong negara oleh Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dikurangkan kepada sembilan bulan berbanding dua tahun.

Keputusan ke atas Syahir Rosdi dan Zulkifli Razak itu dibuat selepas masing-masing mengemukakan rayuan.

Namun mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif PSM bersidang hari ini memuktamadkan supaya kedua-duanya perlu membantu pembangunan sukan sepak takraw tanah air selama 45 jam berbanding 30 jam sebelum ini.

Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail berkata, badan induk sukan berkenaan menerima rayuan dua bekas tekong itu selepas meneliti semua faktor demi pembangunan sukan berkenaan.

"Selain pengurangan tempoh penggantungan, mereka diberi kelonggaran untuk hanya menyertai kejohanan mewakili majikan masing-masing iaitu MARA bagi Syahir dan Zulkifli untuk Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT).

"Bagaimanapun, dalam tempoh itu, mereka perlu menjalani hukuman tambahan selama 15 jam untuk pembangunan sepak takraw," kata Ahmad kepada media hari ini selain mengharapkan tiada spekulasi timbul atas keputusan berkenaan.

Sebelum ini, Syahir dan Zulkifli dikenakan penggantungan dua tahun bermula 27 Jun lalu atas alasan disiplin dan dilarang menyertai sebarang keohanan atau pertandingan sepak takraw sama ada dalam dan luar negara.

 

 

Berita Harian X