Ahad, 20 Oktober 2019 | 7:06pm
PELUMBA ketika mula kayuhan di Kuala Lipis pada Peringkat 5 Tour of Peninsular (ToP) 2019. NSTP/Aswadi Alias.

ToP miliki potensi besar, tarik pasukan ternama

KUALA LUMPUR: Perlumbaan basikal Tour of Peninsular (ToP) 2019 berakhir semalam mendapat maklum balas positif daripada komisar serta wakil Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Jelajah berstatus 2.1 itu turut dilihat memiliki potensi besar untuk diangkat ke taraf lebih baik selepas ini selain dijangka dapat menarik masuk pasukan besar selepas kejayaan penganjuran kali pertama itu.

"Panel komisar memberikan mata penuh kepada penganjuran. Jadi daripada segi penganjuran dan fasiliti, kita memang sempurna. Malah kami kekal dengan tarikh ditetapkan walaupun terpaksa mengubah laluan perlumbaan secara keseluruhan di saat akhir susulan kemangkatan ayahanda Sultan Kelantan.

"Penganjuran yang lebih 'gagah' pada tahun depan dengan tarikh 13 hingga 17 Oktober 2020 sudah ditetapkan. Kita mungkin akan mampu menarik pasukan profesional benua dan World Teams nanti," kata Ketua Pegawai Operasi (COO) ToP 2019, Emir Abdul Jalal.

ToP 2019 turut mendapat perkembangan positif dengan penggunaan teknologi ‘live streaming’ di laman You Tube buat pertama kali membolehkan ia ditonton peminat sukan berbasikal di seluruh dunia.

Emir menjelaskan, siaran secara langsung penting buat pelumba dan pasukan yang mengambil bahagian kerana ia dapat mempromosikan penaja masing-masing, sekali gus membuka mata semua pihak termasuk pasukan dunia.

"Kita juga memberikan hadiah kemenangan secara tunai, jadi tiada pasukan meninggalkan Malaysia tidak memperoleh wang mereka," katanya yang hanya memiliki baki 20 peratus bayaran kepada kontraktor yang kebiasaannya dilangsaikan dalam tempoh sebulan.

Hadiah wang tunai keseluruhan penganjuran ToP adalah sebanyak RM323,500. 

ToP dianjurkan Motoshoot Event Sdn Bhd serta disokong Kementerian Belia dan Sukan menyaksikan perlumbaan berlangsung sejauh 751.6 kilometer lima hari.

Ia disertai 20 pasukan dengan dua daripadanya adalah pasukan kebangsaan iaitu Malaysia dan Azerbaijan manakala selebihnya adalah pasukan benua.

Berita Harian X