Ahad, 20 Oktober 2019 | 11:39am
PEMAIN Terengganu, Amirul Mukminin Amizan (kanan) beraksi cemerlang membantu pasukannya menumpaskan Kelantan dalam saingan Piala Agong di Stadium Mini Gong Badak, hari ini. - Foto ihsan Persatuan Ragbi Negeri Terengganu

Terengganu benam Kelantan ragbi Piala Agong

KUALA TERENGGANU: Pasukan Terengganu tidak berdepan masalah untuk melakar kemenangan ketiga berturut-turut selepas mudah mengetepikan cabaran Kelantan, 75-8 dalam saingan ragbi Piala Agong di Stadium Mini Gong Badak, Kuala Nerus, dekat sini, semalam.

Kombinasi mantap diperagakan pemain di setiap posisi menyaksikan pasukan tuan rumah mudah meratah skuad pelawat dalam aksi ketiga itu.

Jurulatih Terengganu, Izaimi Zainuddin mengakui aksi berpasukan yang dipamerkan anak buahnya menjadi kunci kejayaan skuadnya melakar kemenangan bergaya.

"Sasaran untuk menang dalam tiga perlawanan berturut-turut dalam peringkat kumpulan sudah tercapai. Biarpun menang besar tetapi masih ada kelemahan yang perlu diperbaiki untuk layak ke suku akhir.

"Barisan pertahanan perlu diperbaiki lagi selepas tiga perlawanan, namun saya percaya pemain mampu mengekalkan corak lebih konsisten selepas ini," katanya.

Terdahulu pada babak pertama, tuan rumah yang sebelum ini cemerlang menumpaskan Johor dan Kedah bermula garang apabila mendahului pelawat 40-3.

Babak kedua, Terengganu terus mendominasi permainan dengan menambah 25 mata lagi sebelum pelawat menperoleh lima mata untuk menjadikan kedudukan berkesudahan 75-8.

 

Berita Harian X