Khamis, 17 Oktober 2019 | 6:03pm
NUR Amirull Fakharuddin Mazuki meraikan kemenangan Peringkat 3 Kuantan ke Karak pada Tour of Peninsular (ToP) 2019. - Foto Aswadi Alias
NUR Amirull Fakharuddin Mazuki meraikan kemenangan Peringkat 3 Kuantan ke Karak pada Tour of Peninsular (ToP) 2019. - Foto Aswadi Alias

Nur Amirull sapu bersih 3 jersi

KARAK: Kerja ‘gila’ melakukan pecahan dari kelompok besar sejauh 100 kilometer (km) membantu Nur Amirull Fakharuddin Mazuki merangkul tiga jersi pada Peringkat 3 Tour of Peninsular (ToP) 2019, berakhir dekat sini, hari ini.

Pelumba Terengganu Inc TSG Cycling Team (TSG) itu merampas Jersi Kuning selaku pendahulu keseluruhan, Jersi Biru (Raja Pecut) dan Jersi Putih (pelumba terbaik Asia).

Nur Amirull dianugerahkan semua jersi berkenaan selepas menjuarai perlumbaan Peringkat 3 bermula di Kuantan dan tamat di Karak sejauh jarak 172.7km dengan catatan masa tiga jam 49 minit 59 saat.

Amir Kolahdouz Hagh (Taiyun Miogee Cycling Team) kedua manakala Mohd Harrif Saleh (TSG) mengulangi pencapaian Peringkat 2 apabila meraih tempat ketiga.

“Strategi pasukan memang mengharapkan salah seorang pelumba TSG melakukan pecahan dari kelompok besar untuk memastikan pendaki boleh berehat. Apabila ada pelumba TSG secara tak langsung pelumba lain akan mengejar.

"Di km 70 saya cuba membuat pecahan dua orang bersama Amir Hagh dan Alhamdulilah bertahan sampai ke garisan penamat," kata Nur Amirull.

Mengulas lanjut, pelumba TSG itu berkata, pengalaman membolehkan dia dan Amir merangka strategi agar bertenang sebelum melakukan henjutan pada 40km terakhir.

Mengenai perlumbaan peringkat seterusnya membabitkan pendakian Cameron Highlands, Nur Amirull berkata TSG akan menggunakan kepakaran Metkel Eyob dan Artem Ovechkin.

"Tapi dalam masa sama saya akan cuba mempertahankan jersi ini sebaik mungkin. Saya cuba kekalkan Jersi Biru, Kuning dan saya perlu lihat bagaimana perlumbaan esok," katanya.

Berita Harian X