Selasa, 15 Oktober 2019 | 11:00pm
ABD Talib Ahmad
ABD Talib Ahmad

Abd Talib ada perancangan

KUALA LUMPUR: Susulan penggantungan Mohd Syahir Rosdi dan Muhammad Zulkifli Abd Razak, ketua jurulatih sepak takraw negara, Abd Talib Ahmad mempunyai dua rancangan sebagai langkah mempersiapkan tekong bagi temasya Sukan SEA 2019 di Filipina, November ini.

Selain itu, Abd Talib mengakui berasa lega selepas isu berkaitan dua pemain berkenaan dengan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) kini sudah menemui jalan penyelesaian selain mengharapkan anak buahnya itu dapat mengemukakan rayuan dengan kadar segera. 

"Selepas membuat rayuan saya minta persatuan mempertimbangkannya. Apa pun saya akur dengan keputusan PSM dan kami sudah bersiap sedia sama ada dapat menggunakan khidmat mereka atau tidak. 

"Kami sudah mempunyai pelan A dan B. Sebenarnya banyak perkara perlu difikirkan sejak Zulkifli dan Syahir tidak bersama skuad bermula Jun lalu. Ia termasuk dari segi prestasi dan pemain yang ada sekarang," katanya kepada media selepas lawatan Timbalan Chef de Mission, Ahmad Faedzal Md Ramli dan Nurul Huda Abdullah ke pusat latihan takraw di Bukit Jalil, hari ini.

Katanya, pemain yang berada dalam kem ketika ini sedang merebut tempat untuk mewakili negara di Sukan SEA dan seandainya Syahir dan Zulkifli kembali, kemungkinan nasib 12 pemain sedia ada mungkin berubah. 

Malah ketika ditanya mengenai tekong lain, Abd Talib berkata, mereka mempunyai pilihan iaitu Hairul Hazizi Haidzir dan Said Ezwan Said De seandainya tidak dapat menggunakan khidmat Syahir dan Zulkifli.

"Sebelum ini di Piala Raja Thai, kedua-dua mereka (Hazizi dan Said) menunjukkan perkembangan positif sehinggakan Thailand terpaksa menggunakan kelima-lima pemain mereka. Sebenarnya ia bergantung kepada hari temasya berkenaan,” katanya.

Berita Harian X