Selasa, 15 Oktober 2019 | 10:25pm
DUA tekong pemain sepak takraw negara Mohd Syahir Rosdi (kiri) dan Muhammad Zukkifli Abd Razak. - Foto Owee Ah Chun
DUA tekong pemain sepak takraw negara Mohd Syahir Rosdi (kiri) dan Muhammad Zukkifli Abd Razak. - Foto Owee Ah Chun

Pesanan Syahir, Zulkifli jadi azimat

KUALA LUMPUR: Ada pesanan diberi bekas tekong negara,  Mohd Syahir Rosdi dan Muhammad Zulkifli Abd Razak kepada rakan seperjuangannya Hairul Hazizi Haidzir yang bakal menggalas tugas di temasya Sukan SEA Filipina, November ini.

Hairul yang masih terkejut dengan ketiadaan Syahir dan Zulkifli dalam kem sepak takraw susulan penggantungan dua tahun oleh Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) atas alasan disiplin berkata, kedua-duanya meminta untuk dia menggalas tanggungjawab diberi dengan penuh tanggungjawab demi atas nama negara. 

"Ketiadaan Syahir dalam skuad kali ini... saya sebenarnya sedih kerana tiada tonggak," kata Hairul yang sebelum ini pernah berada dalam skuad negara dalam dua temasya Sukan SEA dan satu di Sukan Asia kepada media selepas lawatan Timbalan Chef de Mission, Ahmad Faedzal Md Ramli  dan Nurul Huda Abdullah ke pusat latihan takraw di Bukit Jalil, hari ini.

"Namun Syahir dan Sobey (Zulkifli) ada pesan kepada saya, mereka minta saya menggalas tanggungjawab ini sebagai seorang yang bertanggungjawab dan daripada luar, mereka akan mendoakan pasukan. 

“InsyaAllah berkat doa mereka dan juga rakyat Malaysia, kami akan bersiap sedia menggalas tanggungjawab diberi.

"Siapa kata yang mewakili negara itu (tugas) ringan?. Tugas mewakili negara, membawa bendera (Malaysia) adalah satu tugas yang berat kerana melambangkan maruah negara. Tentunya, saya bersiap sedia untuk menggalas tanggungjawab diberikan ini."

Kelmarin, Syahir dan Zulkifli dikenakan hukuman gantung dua tahun daripada menyertai mana-mana kejohanan ataupun pertandingan dalam dan luar negara oleh PSM selain diminta membantu pembangunan sepak takraw tanah air selama 30 jam dengan cara dan masa akan dibincangkan antara pemain dan pengurusan persatuan.

Begitupun, kedua-dua pemain berkenaan dibenarkan mengemukakan rayuan mengenai hukuman yang mula berkuatkuasa 27 Jun lalu itu dalam tempoh 14 hari selepas tarikh surat dikeluarkan.

Sebagai maklum balas awal, Zulkifli menyatakan dirinya akan mengemukakan rayuan terhadap hukuman berkenaan dalam usaha terus mewarnai rencah arena sukan sepak takraw negara.

 

 

Berita Harian X