Ahad, 13 Oktober 2019 | 8:44pm
BEKAS atlet renang (OKU) Negara, Koh Lee Peng ditemui media selepas Majlis Bantuan Perubatan sumbangan YAKEB, di Jade Home 224, Jln Pemancar, Tmn Tun Sardon, Gelugor, Pulau Pinang. - Foto NSTP/Ramdzan Masiam.

Bekas atlet renang OKU dicemuh

GEORGETOWN: Sepanjang kariernya, dia pernah menerima anugerah Olahragawati Paralimpik 2016 berikutan kecemerlangannya ketika mewakili negara dalam acara renang.  

  Selain itu, dia juga pernah mengharumkan nama negara apabila merangkul tujuh pingat emas dan tiga perak, masing-masing ketika beraksi dalam kejohanan Asean Para Games sejak tahun 2001 hingga 2005.

  Namun kini bekas atlet renang kebangsaan kategori Orang Kurang Upaya (OKU), Koh Lee Peng, 46, terpaksa menerima cemuhan orang ramai disebabkan dia mencari rezeki berniaga secara kecil-kecilan dengan menjual tisu sekitar Bandar Perda, Bukit Mertajam, dekat sini sejak lima bulan lalu.

 Koh yang cacat kedua-dua kaki dan bergerak menggunakan kerusi roda terpaksa mendengar pelbagai cemuhan orang ramai hingga ada yang mengatakan dia dipergunakan pihak tertentu untuk mengutip derma dan wang dengan mudah.

  Menurutnya, ada juga antara mereka yang mencemuhnya dengan mengatakan dia warga asing yang berasal dari Vietnam, Thailand dan Filipina.

  "Jika diikutkan, memang kecewa dengan tanggapan yang dilontarkan orang ramai kerana apa yang saya lakukan sekarang hanyalah menjual tisu untuk mencari rezeki dan saya bukannya meminta sedekah.

  "Namun, ramai yang memandang sinis pekerjaan dilakukan saya malah mereka juga sebenarnya tidak tahu yang saya adalah bekas atlet renang OKU satu masa dulu," kata Lee Peng yang ditemui ketika menerima sumbangan Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) di Taman Tun Sardon, di sini, hari ini.

  Turut hadir Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim serta Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.

  Menurutnya, pernah juga ada individu yang meminta kad pengenalan kepadanya namun dia enggan memberikan dokumen itu kerana mereka tidak menunjukkan sebarang kad kuasa atau apa-apa surat.

  "Saya juga sudah menjadi fobia untuk menunjukkan kad pengenalan kerana sebelum ini ada individu yang terus melarikan diri bersama dokumen pengenalan diri saya itu sebaik diberikan kepadanya," katanya.

  Menurutnya, dia sebelum ini bekerja di kawasan pulau namun pergerakannya agak terbatas kerana perlu menaiki tangga untuk ke pejabat sebelum terjumpa dengan rakan yang terpisah sejak 20 tahun lalu.

  "Rakan yang melihat keadaan saya menawarkan peluang untuk mempelajari selok belok berniaga dan disebabkan itu saya tidak menolak pelawaannya itu.

  "Lagipun, saya memang ingin hidup berdikari dan mula belajar sedikit demi sedikit untuk mempelajari cara berniaga walaupun terpaksa menerima cemuhan orang ramai kerana keadaan diri yang tidak sempurna seperti orang lain," katanya.

  Sementara itu, Noorul Ariffin berkata, selain menerima wang sara hidup berjumlah RM300 sebulan, YAKEB turut menyerahkan cek berjumlah RM5,000 sumbangan Yayasan Tan Sri Muhyiddin kepada bekas atlet renang itu

  "Selain itu, kunjungan kita hari ini juga bagi mengukur kaki palsu yang akan diserahkan kepada bekas atlet bola sepak negara, V Krishasamy, 71, yang kaki kirinya terpaksa dipotong akibat kencing manis.

  "Selain bantuan khas berbentuk wang tunai kepada beliau kita juga akan menyerahkan kaki palsu berharga kira-kira RM10,000 selepas ia siap kelak," kata Noorul Ariffin.

  Menurutnya, YAKEB juga turut memberikan bantuan pembiayaan rawatan perubatan kepada seorang lagi bekas atelt bola sepak negara, Rahim Mohamad, 63, yang menghidap sakit jantung.

  "Rahim yang juga pemain bola sepak era 70-an itu dimasukkan ke hospital baru-baru ini kerana menjalani pembedahan jantung dan kita membiayai bil yang mencecah RM5,000.

  "Malah, semua kos dan bil ketika dia mendapatkan rawatan sakit jantungnya memang dibiaya YAKEB sejak 2013 lalu," katanya.

Berita Harian X