Jumaat, 11 Oktober 2019 | 11:18pm

TSG, TSC berentap di ToP

KUALA LUMPUR: Penyertaan 20 pasukan membabitkan pelumba-pelumba dari 23 negara bakal menyajikan aksi menarik pada Tour of Peninsular (ToP) 2019 yang dijadual berlangsung pada 15 hingga 19 Oktober ini.

Tumpuan juga pasti terarah kepada dua pasukan benua tempatan, Terengganu Inc (TSG) dan Team Sapura Cycling (TSC) bagi merebut mata ranking Jelajah Asia Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

TSG dan TSC kini berada di kedudukan pertama dan kedua ranking Jelajah Asia UCI, yang menyaksikan TSG memiliki 2215 mata manakala TSC selaku pencabar terdekat dengan 1,819.97 mata. 

Pelumba TSC Benjamin Dyball mengharungi tahun cemerlang apabila merangkul gelaran juara keseluruhan di Le Tour de Langkawi (LTdL) selain muncul pelumba ketiga terbaik Jelajah Tasik Qinghai di China, yang masing-masing adalah perlumbaan berstatus 2HC.

Persembahan menakjubkan Dyball menyaksikan dia dilamar pasukan berstatus Jelajah Dunia, Team Dimension Data yang akan dikenali sebagai Team NTT musim depan.

Pelumba Australia itu akan beraksi bersama rakan senegara, Marcus Culey dan Muhammad Zawawui Azman untuk TSC sebelum berhijrah ke pasukan Afrika Selatan berkenaan.

Sementara itu, TSG membariskan pelumba import dari Rusia, Artem Ovechkin, yang memenangi LTdL 2018, bersama Nur Amirull Fakhruddin Mazuki, yang menjuara Jelajah de Siak di Indonesia bulan lalu, Metkel Eyob (Eritrea), Mohd Shahrul Mat Amin, Goh Choon Huat dan Mohd Harrif Saleh.

TSG dan TSC dijangka menerima cabaran sengit daripada pasukan HKSI Pro Cycling Team (Hong Kong), Vino-Astana Motors dari Kazakhstan, yang menduduki ranking keempat dan keenam dalam Jelajah Asia.

Pasukan lain yang turut serta adalah Kinan Cycling Team (Jepun), Aisan Racing Team (Jepun), St George Continental Cycling Team (Australia), Oliver's Real Food Racing (Australia), 7Eleven Cliqq - Air21 by Roadbike Philippines, KFC Cycling Team (Indonesia), Brunei Continental Cycling Team dan Thailand Continental Cycling Team, yang masing-masing memiliki pengalaman berlumba di Malaysia sebelum ini.

Taiyuan Miogee Cycling Team (China), Protouch (Afrika Selatan), Uijeongbu Cycling Team (Korea Selatan), PGN Road Cycling Team (Indonesia), Hurom BDC Development (Poland) dan Foolad Mobarakeh Sepahan dari Iran juga mengambil bahagian.

Hanya dua pasukan kebangsaan menyertai perlumbaan - Malaysia dan Azerbaijan.

ToP adalah anjuran Motoshoot Event Sdn Bhd yang disokong Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan ia adalah jelajah pertama berstatus 2.1 di Malaysia.

 

Senarai pasukan ToP

Continental

1. Terengganu Inc. Tsg Cycling Team (TSG) - Malaysia

2. Team Sapura Cycling (TSC) - Malaysia

3. Kinan Cycling Team (KIN) - Jepun

4. Vino - Astana Motors (VAM) - Kazakhstan

5. Taiyuan Miogee Cycling Team (TMC) - China

6. Kfc Cycling Team (KFC) - Indonesia

7. 7eleven Cliqq - Air21 By Roadbike Philippines (7RP) - Filipina 

8. Thailand Continental Cycling Team (TCC) - Thailand

9. Protouch (PRO) - Afrika Selatan 

10. St George Continental Cycling Team (STG) - Australia

11. Aisan Racing Team (AIS) - Jepun

12. Brunei Continental Cycling Team (BRC) - Brunei

13. Uijeongbu Cycling Team (UCT) - Korea

14. Oliver's Real Food Racing (OLI) - Australia

15. Pgn Road Cycling Team (PGN) - Indonesia

16. Hksi Pro Cycling Team (HKS) - Hong Kong

17. Hurom Bdc Development (THU) Poland

18. Foolad Mobarakeh Sepahan (FSC) - Iran

Kebangsaan

19. Malaysia (MAS) - Malaysia

20. Azerbaijan (AZE) - Azerbaijan

 

 

Berita Harian X