Jumaat, 11 Oktober 2019 | 11:03pm
MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - Foto Aizuddin Saad
MENTERI Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman. - Foto Aizuddin Saad

Lahir lebih ramai Luqman - Syed Saddiq

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) mahu lahirkan lebih ramai pemain Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) seperti Luqman Hakim Shamsudin.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata demikian mengulas peningkatan tiga kali ganda peruntukan bagi NFDP iaitu RM45 juta yang diumumkan pada pembentangan Belanjawan 2020 di Dewan Rakyat hari ini oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

"Saya sangat gembira kerana ini adalah perkara yang lama kita perjuangkan berkenaan NFDP. Pada awal (menjadi Menteri Belia dan Sukan), dana khas yg diperuntukkan buat NFDP adalah RM3.5 juta kemudian dinaikkan ke RM15 juta dan sekarang untuk tahun depan kita naikkan kepada rm45 juta - tiga kali peningkatan daripada Belanjawan 2019,” kata Syed Saddiq.

KBS mahu lahirkan lebih ramai pemain Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) seperti Luqman Hakim Shamsudin. - NSTP/Eizairi Shamsudin
KBS mahu lahirkan lebih ramai pemain Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) seperti Luqman Hakim Shamsudin. - NSTP/Eizairi Shamsudin

"Ini akan memberikan impak kepada lebih 80,000 anak muda khususnya di luar bandar untuk dimasukkan ke dalam ekosistem bola sepak bagi melahirkan lebih ramai anak muda seperti Luqman...Kita nak lahirkan lebih ramai Luqman, jadi kita perlukan lebih banyak pelaburan besar dan pelaburan strategik."

Luqman, juga pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD) yang sedang menjalani latihan dengan pendahulu Liga Divisyen Satu Jepun (Liga J), FC Tokyo, mengharumkan nama negara apabila disenaraikan dalam 60 pemain muda terbaik dunia oleh portal antarabangsa, The Guardian dan juga seorang daripada lima perserta Asia yang tersenarai.

Syed Saddiq berkata peningkatan daripada RM10 juta kepada RM20 juta bagi pembangunan e-sukan adalah satu lonjakan besar bagi pembangunan sukan itu di negara ini.

"Industri e-sukan tahun lepas kita dapat RM10 juta yg perlu dikongsi iaitu RM5 juta buat Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) yang memberi fokus untuk membangunkan industri e-sukan dan KBS peroleh lagi RM5 juta untuk fokus pada pembangunan sukan itu sendiri. Tahun ini daripada RM10 juta naik kepada RM20 juta bagi KKMM dan RM20 juta lagi ke KBS sebagai sukan itu sendiri," katanya.

Berita Harian X