Selasa, 8 Oktober 2019 | 9:37pm
Skuad jujitsu negara fokus untuk memburu empat pingat tanpa mengira warna dalam penampilan sulung pada Sukan SEA ke-30. - Foto hiasan

Malaysia intai empat pingat jujitsu di Filipina

KUALA LUMPUR: Di sebalik kemelut dalaman yang melanda Persatuan Jujitsu Malaysia sebelum ini, skuad jujitsu negara tetap fokus untuk memburu empat pingat tanpa mengira warna dalam penampilan sulung pada Sukan SEA ke-30 di Filipina, November ini.

Pengurus skuad jujitsu negara, Sharizal Md Sidek berkata skuad negara hanya menghantar empat atlet untuk menyertai empat daripada 11 acara yang bakal dipertandingkan pada Sukan SEA kali ini susulan kemelut yang melanda persatuan berkenaan sebelum ini.

Empat atlet berkenaan adalah Adam Akasyah yang akan bertanding dalam kategori bawah 69kg lelaki, Damon Soo Yan Wei (bawah 62kg lelaki), Cassandra J Poyong (bawah 55kg wanita) dan Lee Ai Jin yang akan bertanding dalam kategori bawah 45kg wanita.

"Persiapan atlet kami berjalan baik dengan mereka menjalani latihan setiap hari sama ada di Gimnasium Taman Tun Dr Ismail di Petaling Jaya, dan Bangsar di sini.

“Setakat ini, kami sudah mengenal pasti pesaing kami dari Singapura, Indonesia, Thailand, Filipina, Kemboja dan Vietnam, dan kami sendiri kenal siapa lawan kami," katanya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019, Nurul Huda Abdullah dan Ahmad Faedzal Md Ramli di sini, hari ini.

Pada masa yang sama, Sharizal turut berterima kasih kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Majlis Sukan Negara dan Institut Sukan Negara yang memberi peluang kepada atlet mereka untuk menyertai Sukan SEA 2019 pada akhir bulan lepas.

Beliau turut mendedahkan ahli EXCO baharu Jujitsu yang sedang dibentuk, akan menghantar pendaftaran kepada Pejabat Pesuruhjaya Sukan, Pejabat Pendaftar dalam tempoh terdekat bagi menghidupkan semula persatuan berkenaan yang sebelum ini sah dibubarkan oleh kepimpinan terdahulu.

Dalam pada itu, Adam, 18 menyasarkan untuk melakar kejutan dengan cuba meraih pingat emas pada Sukan SEA 2019, sambil memaklumkan beliau kini giat mempertingkatkan aspek mental dan fizikal pada sesi latihan harian untuk menghadapi pencabar negara ASEAN yang lain.

"Kemelut dalaman persatuan sebelum itu tidak memberi kesan kepada diri saya kerana fokus utama saya pada penyertaan sulung Sukan SEA 2019 adalah untuk memenangi pingat," kata bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Taman SEA itu yang meraih pingat emas pada Kejohanan Jujitsu Terbuka London 2018 di England.

MOM sebelum ini dilaporkan menolak permohonan sukan berkenaan untuk bertanding pada Sukan SEA 2019 susulan kemelut dalaman yang melanda Persatuan Jujitsu Malaysia.

Jujitsu adalah seni bela pertahanan diri dari Jepun yang menggunakan senjata pendek atau tanpa senjata.

Sukan SEA 2019 akan berlangsung dari 30 November sehingga 11 Disember ini dengan mempertandingkan 56 acara di tiga kluster, iaitu Manila, Clark dan Subic. - BERNAMA

Berita Harian X