Selasa, 8 Oktober 2019 | 5:35pm
Mohamad Norza (tengah) pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM ke-16 bagi sesi 2018-2021 di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Owee Ah Chun

Semua NSA kategori B sudah bayar deposit Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Semua persatuan sukan kebangsaan (NSA) yang diletakkan di bawah kategori B bagi penyertaan ke Sukan SEA Filipina sudah membayar deposit sebanyak 50 peratus perbelanjaan kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Presiden MOM, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria berkata, perkembangan itu sekali gus membuktikan komitmen semua pihak terbabit untuk turut serta dalam temasya dwitahunan berkenaan.

"Pertama sekali saya nak ucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua persatuan sukan ini kerana telah menunjukkan komitmen sangat tinggi untuk mereka mengeluarkan perbelanjaan yang besar.

"Ini menunjukkan mereka begitu serius untuk menghantar atlet. Saya berharap komitmen ini dapat diteruskan daripada segi persembahan prestasi di Sukan SEA Filipina nanti," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM ke-16 bagi sesi 2018-2021 di sini, hari ini.

Pada temasya Sukan SEA kali ini menyaksikan bilangan atlet kategori B iaitu 406 atlet melebihi atlet yang layak secara merit di bawah kategori A iaitu 380 atlet.

Untuk rekod, angka terkini kontinjen negara keseluruhannya adalah seramai 1,063 orang yang merangkumi 786 atlet dan 277 pegawai. Atlet negara akan menyertai 52 daripada 56 jenis acara yang dipertandingkan.

Pada kali ini, MOM memberi peluang kepada persatuan sukan yang bukan ahli gabungan untuk menyertai Sukan SEA, namun diletakkan di bawah kategori B2 yang menyaksikan mereka perlu membayar perbelanjaan keseluruhan biarpun memenangi pingat.

NSA yang menjadi ahli gabungan MOM pula yang diletakkan di bawah kategori B1 dengan kos pembiayaan mereka akan dipulangkan sekiranya merangkul pingat emas atau perak sementara 50 peratus bayaran akan diperoleh jika memenangi gangsa.

Bilangan kontinjen negara kali ini adalah kedua terbesar dalam penyertaan di luar negara selepas Sukan SEA 2007 di Korat, Thailand yang menyaksikan Malaysia menghantar 1,114 orang (820 atlet dan 294 pegawai).

"Purata bilangan sukan pada edisi sebelum ini adalah antara 39 ke 40 berbanding pada temasya di Filipina yang menawarkan 56 jenis. Kita sertai 52 daripada 56 sukan tersebut dan kita juga menyertai sukan yang bukan ahli gabungan OCM.

"Sukan SEA bukan seperti Sukan Komanwel atau Sukan Asia atau Sukan Olimpik yang meletakkan kriteria pemilihan kepada prestasi semata-mata.

“Ini kerana Sukan SEA adalah sukan pembangunan dan sukan persahabatan yang mana menjadi platform pertama bagi memperkenalkan atlet muda kita serta mengembangkan sukan tak dikenali," katanya.

Mohamad Norza berkata Jawatankuasa Penganjuran Sukan SEA Filipina (PHISGOC) juga melanjutkan tarikh akhir menghantar nama peserta kepada 17 Oktober ini berbanding tarikh asal semalam.

"Mungkin tuan rumah perlukan sedikit masa lagi bagi persiapan dalaman mereka namun kita sudah selesaikan aspek senarai penyertaan. Cuma bila masa dilanjutkan, kita kini boleh bergerak ke fasa seterusnya iaitu memberi tumpuan kepada persiapan kontinjen pula," katanya.

Tentang penetapan sasaran pula, Mohamad Norza berkata sasaran hanya akan diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman selepas berlangsungnya bengkel penetapan sasaran oleh Majlis Sukan Negara (MSN) bersama NSA.

Berita Harian X