Selasa, 8 Oktober 2019 | 6:00am

Beli sambil beramal

KUALA LUMPUR: Membeli sambil melabur dan beramal!

Itu yang dapat disimpulkan mengenai konsep menang-menang yang diguna pakai Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) menerusi projek terbaru mereka - penjualan kad kepingan emas.

Uniknya, kad kepingan emas berkenaan yang hanya berharga RM165 itu memaparkan tiga wajah legenda negara - Datuk Abdul Malek Noor (bina badan), Datuk M Rajamani (olahraga) dan Datuk Ng Joo Ngan (lumba basikal).

Malah, jika pembeli memerlukan wang, kad berkenaan boleh dijual semula di pejabat pos berdekatan dengan nilai pasaran emas semasa.

Pengerusi YAKEB, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed berkata, hasil jualan kepingan emas itu akan disalurkan kepada ‘Tabung YAKEB for X-Athlete’ (TabungX) yang dilancarkan sebelum ini bagi menampung keperluan bekas atlet kebangsaan.


‘Tabung YAKEB for X-Athlete’ (TabungX) yang dilancarkan sebelum ini bagi menampung keperluan bekas atlet kebangsaan. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Menurutnya, pada peringkat awal pihaknya memilih Malek, Rajamani dan Joo Ngan namun pihaknya merancang untuk memilih bekas atlet lain sekiranya ia mendapat sambutan memberangsangkan.

“Di bahagian depan kad terpapar gambar semasa dan terdahulu bekas atlet  terbabit manakala di bahagian belakang terdapat cetakan pencapaian mereka dalam bidang masing-masing.

“Kita harap menerusi projek terbaru ini dapat mengumpul dana dalam membantu menjaga kebajikan bekas-bekas atlet,” katanya.

Noorul berkata, pihaknya akan melancarkan kad kepingan emas berkenaan pada 18 Oktober ini di Putrajaya dan orang ramai yang berminat serta ingin membuat tempahan boleh terus menghubungi pejabat YAKEB di talian 03-20924841/4844.

Noorul menunjukkan contoh edisi khas kepingan emas sempena ‘Tabung YAKEB for X-Athlete’ (TabungX). - NSTP/Mohd Yusni Ariffin
Berita Harian X