Khamis, 3 Oktober 2019 | 9:27pm
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen antara Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara, Ahmad Faedzal (kanan) dengan Ketua Pegawai Eksekutif LPM Support Malaysia, Soo Juan Choon (kiri) di Menara KBS. - NSTP/Ihsan KBS

Hampir separuh atlet negara ke Filipina sudah terima vaksin

PUTRAJAYA: Kira-kira separuh daripada atlet yang akan membawa cabaran negara ke Sukan SEA Filipina bulan depan sudah pun selesai menjalani pemeriksaan kesihatan dan mengambil suntikan vaksin.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara, Ahmad Faedzal Md Ramli berkata bakinya akan dilakukan secara berjadual dan dijangka akan selesai sepenuhnya sebulan sebelum kontinjen negara berangkat.

"Hasrat kita untuk pastikan semua atlet ke Sukan SEA dapat suntikan vaksin dan pemeriksaan kesihatan daripada ISN. Itu yang kita lakukan kepada atlet dan ia dijalankan secara serentak.

"Ada atlet sudah menjalani saringan ini dan bagi mereka yang belum terima, kita akan pastikan ia dibuat secara berjadual. Semasa mesyuarat pengurus pasukan bersama Ketua Kontinjen (CDM) juga kita sudah buat penyelarasan untuk pastikan penjadualan atlet diberi suntikan dibuat dengan rapi.

"Daripada peratusan, hampir separuh sudah selesai. Kita akan pastikan semuanya selesai selewat-lewatnya sebulan sebelum ke Sukan SEA," katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kerjasama Antara Institut Sukan Negara (ISN) dan LPM Support Malaysia.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan, Dr Waitchalla RRV Suppiah dan CEO LPM Support Malaysia, Soo Juan Choon.

Sebelum ini, kesemua atlet negara ke Sukan SEA diwajibkan mengambil suntikan vaksin bagi mengelak dijangkiti wabak penyakit yang sedang melanda beberapa venue utama temasya sukan itu.

Untuk itu, CDM negara, Datuk Megat Zulkarnain Omardin berkata semua persatuan sukan kebangsaan perlu menyediakan atlet mereka seberapa segera sebelum berlepas ke Filipina.

Berita Harian X