Jumaat, 27 September 2019 | 11:54pm
Ketua Kontinjen Negara ke Sukan SEA Filipina 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin (dua dari kiri) bersama Timbalan Ketua Kontinjen Negara ke Sukan SEA Filipina 2019, Ahmad Faedzal Md Ramli (kiri) mengatakan sesuatu kepada atlet Skuasy pada Lawatan CDM Sukan SEA Ke-30 bertemu atlet Skuasy yang menyertai Sukan SEA Ke-30 di Filipina yang diadakan di Pusat Skuasy, Bukit Jalil. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
Ketua Kontinjen Negara ke Sukan SEA Filipina 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin (dua dari kiri) bersama Timbalan Ketua Kontinjen Negara ke Sukan SEA Filipina 2019, Ahmad Faedzal Md Ramli (kiri) mengatakan sesuatu kepada atlet Skuasy pada Lawatan CDM Sukan SEA Ke-30 bertemu atlet Skuasy yang menyertai Sukan SEA Ke-30 di Filipina yang diadakan di Pusat Skuasy, Bukit Jalil. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

PESAKA rancang perkenal kategori kanak-kanak silat Terbuka Malaysia

KUALA LUMPUR: Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) merancang untuk membuka kategori dini (kanak-kanak) pada edisi Kejuaraan Pencak Silat Terbuka Malaysia akan datang.

Ia sebagai langkah untuk menyediakan ruang buat pesilat muda ini menyerlahkan bakat selain membolehkan mereka menimba pengalaman menyertai kejohanan di peringkat lebih tinggi.

"Untuk edisi tahun ini, kami sudah membuka penyertaan kepada seluruh pasukan negeri dan beruniform seperti Angkatan Tentera Malaysia dan Polis Diraja Malaysia. Kedua-dua pasukan beruniform ini mempunyai pesilat yang ramai dan saya difahamkan silat adalah sukan yang mempunyai pengaruh kuat dalam kedua-dua badan ini.

"Jadi ini satu peluang untuk mereka dan ini adalah antara kelainan yang kami cuba lakukan sebab kami mahu melahirkan lebih ramai pesilat.

"Saya juga ingin katakan, kami tidak timbul isu ketandusan pesilat. Kami mempunyai pesilat daripada seawal usia tujuh tahun, sama juga seperti remaja yang jumlahnya mencecah ribuan. Kalau dilihat daripada kejuaraan silat terbuka anjuran negeri, daerah ataupun perguruan ini, ia (penganjuran kejuaraan) setiap minggu.

"Jadi daripada ini, PESAKA memikirkan ke manakah nak bawa mereka ini kerana jumlahnya besar dan kami membuat keputusan supaya (kejuaraan) terbuka (Malaysia) ini dianjurkan setiap tahun dan InsyaAllah, kami juga akan buka untuk peringkat muda ini di penganjuran akan datang," kata Setiausaha Agung PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin, di sini, malam tadi.

Pada penganjuran edisi kedua ini, Kejuaraan Pencak Silat Terbuka Malaysia menerima 20 penyertaan pasukan daripada dalam dan luar negara. Sebanyak 13 pasukan adalah daripada wakil negeri termasuk badan beruniform manakala bakinya adalah daripada luar negara seperti Jepun, Thailand dan Kyrgystan.

"Rata-rata penyertaan pasukan dalam negara ini adalah sebagai persiapan untuk Sukan Malaysia (SUKMA) tahun depan. Ini kali pertama PESAKA membuka kepada pasukan dalam negara supaya pesilat muda berpeluang dan merasa bertarung dengan pesilat kebangsaan.

"Selebihnya, kejuaraan ini adalah untuk mempersiapkan pasukan untuk ke Sukan SEA dan Kejuaraan Silat Asia di China pada Disember nanti. Ini adalah antara tujuan kejuaraan ini. Tahun depan juga Malaysia akan menjadi tuan rumah untuk Kejuaraan Silat Dunia dan selepas itu, kami akan buat kejuaraan terbuka ini untuk setiap tahun supaya menjadi pendedahan kepada pesilat dalam negara."

Berita Harian X