Khamis, 26 September 2019 | 12:55pm
PASUKAN Malaysia menjuarai kategori stabelford golf Kejohanan Amatur Senior ASEAN ke-36 di Glenmarie Golf and Country Club Shah Alam semalam
PASUKAN Malaysia menjuarai kategori stabelford golf Kejohanan Amatur Senior ASEAN ke-36 di Glenmarie Golf and Country Club Shah Alam semalam

Filipina juara golf Amatur Senior ASEAN ke-36

KUALA LUMPUR: Pasukan Filipina mengenepikan cabaran Malaysia untuk merangkul gelaran juara keseluruhan golf Kejohanan Amatur Senior ASEAN ke-36 yang berakhir di Glenmarie Golf and Country Club di Shah Alam, dekat sini, semalam.

Kejayaan itu membolehkan Filipina membawa pulang Piala Lela Pahlawan yang menjadi rebutan pasukan bertanding. Malaysia adalah penyandang juara selama dua tahun berturut-turut ketika ia diadakan di Filipina dan Indonesia pada tahun lalu serta 2017.

Terdahulu, Filipina turut memenangi Piala Henry H S Lee iaitu kategori berpasukan lelaki gross dengan turut mengenepikan cabaran Malaysia untuk berpuas hati di tempat kedua, dengan kelebihan tiga pukulan selepas mencatat 706. Singapura di tempat ketiga dengan catatan 726 pukulan.

Kategori berpasukan lelaki nett pula menjadi milik pasukan Thailand yang membawa pulang Piala Zakir selepas mencatat pukulan keseluruhan sebanyak 633 manakala Brunei di tempat kedua (636) dan Filipina di tangga ketiga (643).

Bagi kategori individu gross, kejuaraan menjadi milik Danilo Cruz dari Filipina. Beliau yang mencatatkan 234 membawa pulang Piala Salahuddin manakala kategori individu nett (Piala Mondonedo) dimenangi Sunthorn Kaewmanee dari Thailand dengan catatan 206.

Bagaimanapun pasukan Malaysia tetap berpuas hati apabila menjuarai kategori berpasukan stableford dengan mencatatkan keseluruhan 589 mata bagi membawa pulang Piala Pongpairojana, bagi mengenepikan Filipina selepas kiraan semula susulan turut mencatat jumlah mata sama.

Filipina turut memenangi kategori peringkat usia stableford selepas menghimpun 459 mata, mengenepikan Malaysia di tangga kedua yang mengumpulkan 454 mata. Tempat ketiga milik pasukan Thailand dengan himpunan 444 mata.

Bagi kategori individu stableford pula, ia dimenangi oleh pemain Filipina, Marietto Valerio dengan catatan 80 mata manakala kedua milik Pansak Panich dan Datuk Seri Ramli Yusuff dari Malaysia di tempat ketiga.

Ketiga-tiga pemain terikat jumlah mata sama, namun pemenang diputuskan selepas kiraan semula.

Kejohanan Amatur Senior ASEAN ke-36 disertai oleh seramai 256 pemain dari negara ASEAN iaitu Brunei, Filipina, Indonesia, Singapura, Thailand dan tuan rumah Malaysia. Pada kejohanan kali, Malaysia diwakili oleh 46 pemain.

Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Generasi Muda, Sukan dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Mohd Khairuddin Othman. Hadir sama Presiden Persatuan Golf Senior Malaysia (SGSM), Datuk Mohd Aini Taib dan naibnya, Datuk AS Khamis.

Berita Harian X