Selasa, 24 September 2019 | 2:46pm
Siti Zaharah Abdul Khalid tarik diri. - NSTP/Aizuddin Saad
Siti Zaharah Abdul Khalid tarik diri. - NSTP/Aizuddin Saad

Kemelut MPM: Siti Zaharah tarik diri

 

KUALA LUMPUR: Persatuan Boling Padang Orang Kurang Upaya Malaysia (PBPOKUM) mengambil keputusan menarik semula pencalonan Siti Zaharah Abdul Khalid untuk calon jawatan naib presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM).

Dalam satu surat ditulis badan induk itu kepada Presiden MPM, SM Nasarudin SM Nasimuddin bertarikh semalam, presidennya, Abdul Rais Mohamad Mokhtar berkata, tindakan itu dibuat berdasarkan rasa tanggungjawab bagi membantu menyelesaikan kemelut dihadapi MPM ketika ini.

"Persatuan kami tidak berminat untuk merebut jawatan dan sentiasa menjunjung tinggi amanah diberi untuk mempertahankan kepentingan organisasi dan bukannya mendukung kepentingan individu," kata Abdul Rais.

Beliau juga berharap persatuan lain yang terbabit dengan isu pencalonan bagi pemilihan dalam Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) MPM bertindak sewajarnya bagi membantu menyelesaikan isu yang timbul demi kepentingan sukan para.

Siti Zaharah yang kini memegang jawatan sebagai Setiausaha Kehormat MPM adalah antara lima calon termasuk Khairy Jamaluddin Abu Bakar (calon presiden), Dr Naharuddin Hashim (calon naib presiden), Dr Radha S Krishnan dan John Ng (calon timbalan presiden) dikatakan gagal mengemukakan borang pencalonan mengikut tempoh ditetapkan.

Pencalonan Siti Zaharah adalah bagi mengisi sutu kuota wanita bagi jawatan naib presiden dengan penarikan pencalonannya memberikan laluan kepada Noor Syahieda Mat Shah (Persatuan Powerlifting Para Malaysia) untuk mengisi kekosongan itu.

Lapan pencalonan bagi mengisi lima jawatan naib presiden pula membabitkan pertembungan Hadfizah Abd Khafidz (Persatuan Tenpin Bowling Para Malaysia), K M Rajendran (Taekwondo Malaysia), Muhd Iqbal Sulaiman (Tenis Berkerusi Roda Malaysia), Dr Ang Kean Koo (Persekutuan Bola Keranjang Kerusi Roda Malaysia), Dr Naharuddin (Persatuan Badminton Malaysia) dan Mejar Azhari Abdullah (Persatuan Bola Sepak Orang Buta Malaysia).

Sebelum ini, MPM diselubungi kemelut berpanjangan apabila pemilihan sepatutnya berlangsung pada AGM 29 Jun lalu ditunda hingga ke hari ini terutama membabitkan kerusi presiden apabila SM Nasarudin tidak mahu mempertahankan jawatan disandangnya sejak empat tahun lalu.

Pemilihan MPM bagi penggal 2019-2023 itu mendapat tumpuan selepas AGM ditangguhkan berikutan timbul isu pencalonan lewat terutama bagi jawatan presiden oleh Khairy Jamaluddin.

Ini menimbulkan rasa tidak puas hati seorang lagi calon, Datuk Megat D Shahriman Zaharudin yang juga presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA). 

Berita Harian X