Isnin, 23 September 2019 | 11:48pm
Ketua Pegawai Operasi ToP 2019 Emir Abdul Jalal. - NSTP/Hafiz Sohaimi
Ketua Pegawai Operasi ToP 2019 Emir Abdul Jalal. - NSTP/Hafiz Sohaimi

Persediaan ToP sudah 80 peratus

KUALA LUMPUR: Kira-kira tiga minggu saja lagi menjelang edisi sulung jelajah berbasikal Tour of Peninsular (ToP), penganjur kini sudah 80 peratus bersedia menganjurkan perlumbaan berstatus 2.1 pertama di negara ini yang akan berlangsung 15-19 Oktober ini.

Ketua Pegawai Operasi ToP 2019 Emir Abdul Jalal berkata 20 peratus persediaan lebih kepada beberapa isu teknikal kecil yang akan diselesaikan sebelum bermulanya perlumbaan.

"Ada beberapa aspek teknikal seperti papan tanda yang belum selesai kerana mahu menunggu beberapa penajaan dahulu dan juga pelantikan satu atau dua komisar antarabangsa yang masih belum diperoleh daripada Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

"Tetapi semua itu adalah isu kecil dan akan diselesaikan dalam masa terdekat," katanya kepada BH di sini hari ini.

Emir yang sebelum ini berpengalaman dalam penganjuran Le Tour de Langkawi (LTdL) berkata penganjur ToP 2019, Motoshoot Event Sdn Bhd kini sudah mengesahkan 15 daripada 20 pasukan untuk menyertai perlumbaan itu nanti.

"Sekarang ini kita sedang menunggu pengesahan daripada lima lagi pasukan yang antaranya nanti adalah terdiri daripada Pasukan Benua Profesional.

"Ada kelebihan bagi kami menganjurkan perlumbaan ini di akhir musim kerana pelbagai pasukan pastinya mahu turut serta bagi mengumpul mata sebanyak mungkin dalam menentukan kedudukan mereka sama ada Pasukan Benua Profesional ini dapat naik ke kelas tertinggi, WorldTeams," katanya.

Emir berkata dua Pasukan Benua negara, Terengganu Cycling Team (TSG) dan juga Team Sapura Cycling (TSC) yang masing-masing berada di kedudukan satu dan dua ranking teratas Jelajah Asia pasti menjadikan perlumbaan ToP sebagai acara terakhir bagi mereka untuk menentukan pendahulu ranking Jelajah Asia bagi musim ini.

Berita Harian X