Isnin, 16 September 2019 | 11:29pm
Setiausaha Agung PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin. - NSTP/Asyraf Hamzah
Setiausaha Agung PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin. - NSTP/Asyraf Hamzah

Sarawak berpotensi anjur Kejuaraan Silat Dunia

KUALA LUMPUR: Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) memberi bayangan Kejuaraan Silat Dunia yang dijadual berlangsung pada Julai tahun depan bakal dianjurkan di Sarawak.

Setiausaha Agung PESAKA, Datuk Megat Zulkarnain Omardin memberitahu, pihak persatuan juga ada menerima dua tawaran lain daripada Pahang dan Kuala Lumpur namun Sarawak kemungkinan menjadi venue edisi ke-19 itu atas beberapa faktor. 

"Walaupun ada menerima tawaran daripada Pahang dan Kuala Lumpur namun kemungkinan besar kita akan membawa ke mesyuarat exco PESAKA. Saya fikir kemungkinan besar (dianjurkan) di Sarawak," kata Megat Zulkarnain.

"Sebabnya negara-negara Eropah ini berminat apabila kita menyebut Borneo. Bagi mereka, Borneo ini dekat di hati mereka dan mereka ini datang bukan hanya sekadar pasukan tetapi juga penyokong dan keluarga.”

Kali terakhir Malaysia menjadi tuan rumah bagi kejuaraan berprestij itu adalah pada tahun 2007 di Kuantan, Pahang dengan kontinjen negara muncul naib juara, meraih tujuh pingat emas, lima perak dan lapan gangsa. 

Ketika itu, Vietnam muncul juara keseluruhan dengan kutipan 12 emas, lapan perak dan empat gangsa manakala Singapura ketiga (tiga emas, tujuh gangsa).

Dalam pada itu, Megat Zulkarnain turut menyatakan penganjuran tahun depan dijangka bakal menarik lebih banyak penyertaan daripada negara luar sekali gus menjadikan penganjuran terbesar pernah dianjurkan. 

"Kita rasa Kejuaraan Silat Dunia di Malaysia tahun depan adalah yang terbesar daripada segi penyertaan negara-negara yang mengambil bahagian. Kita mensasarkan 65 negara, setakat ini saya seronok kerana apabila negara Eropah gembira dengan tarikh yang dicadangkan iaitu pada bulan Julai (rehat musim panas). 

"Jadi dengan negara di benua Asia, Asia Tenggara, Eropah, Amerika Syarikat dan Afrika, saya rasa lebih 60 negara dijangkakan mengambil bahagian," katanya.

Berita Harian X