Khamis, 12 September 2019 | 10:03pm
PASUKAN Media Malaysia dan Media Singapura bergambar kenangan selepas kejohanan Piala Causeway di Kelab Golf Sentosa, Singapura kelmarin.

Ipoh destinasi Piala Causeway 2020

KUALA LUMPUR: Bandaraya Ipoh akan menjadi destinasi Kejohanan Golf Piala Causeway edisi ke-13 tahun depan.

Kerajaan negeri Perak bersama Lembaga Penggalakkan Pelancongan Malaysia (Tourism Malaysia) bersetuju menjadi penaja bersama bagi menjayakan kejohanan Piala Causeway yang menemukan pasukan Media Malaysia dan Media Singapura.

Perkara itu diumumkan oleh ketua pasukan Media Malaysia, Arep Kulal, selepas pasukan Malaysia berjaya mempertahankan Piala Causeway untuk tahun keempat berturut-turut selepas mengikat pasukan Media Singapura dengan keputusan 14-14 di Kelab Golf Sentosa, Singapura kelmarin.

“Selain bertanding, kami yakin usaha kami ini dapat membantu mempromosikan Perak dan Bandaraya Ipoh kepada rakan-rakan media di Singapura sempena Tahun Melawat Perak tahun depan.

“Kerjasama yang diberi oleh Kerajaan Negeri Perak dan Tourism Malaysia juga antara faktor utama mengapa kami memilih Bandaraya Ipoh,” katanya.

Sementara itu, pengasas Piala Causeway, Jonathan Ponniah, mengumumkan Arep akan kekal sebagai ketua pasukan Media Malaysia untuk saingan tahun depan, iaitu permulaan bagi sistem penggiliran setiap dua tahun.

Katanya, tempoh dua tahun membolehkan ketua pasukan menumpukan persiapan dan pengurusan pasukan dengan lebih baik untuk saingan di tempat lawan dan di tempat sendiri.

“Sistem penggiliran dua tahun ini lebih adil untuk seorang ketua pasukan yang dilantik. Bukan mudah untuk menguruskan pasukan ke Singapura tetapi ia berbeza apabila kita bermain sebagai tuan rumah,” katanya.

Piala Causeway yang bermula sejak tahun 2008 adalah medan persaingan rakan-rakan media dari Malaysia dan Singapura dalam sukan golf.

Penganjuran kejohanan dibuat secara bergilir setiap tahun. Malaysia sudah memenangi piala itu sebanyak lapan kali manakala Singapura pula empat kali.

Berita Harian X