Rabu, 11 September 2019 | 10:26am

Sepak takraw bakal ke Sukan Olimpik?

KUCHING: Peluang untuk sukan sepak takraw disenaraikan dalam Sukan Olimpik semakin cerah apabila Olympic Channel memberikan lampu hijau untuk promosi sukan itu.  

Dengan menyertai saluran itu, ia bagaikan satu langkah kecil pertama untuk menyaksikan sepak takraw dalam Sukan Olimpik juga peluang untuk Malaysia meraih pingat emas pertama Olimpik, lebih cerah.

Olympic Channel merupakan destinasi media global utama yang mana peminat boleh merasai kuasa sukan dan keterujaan Sukan Olimpik sepanjang tahun dan ia boleh disaksikan di seluruh dunia di www.olympicchannel.com, 24 jam sehari, 365 hari setahun dalam 11 bahasa.

Setiausaha Agung Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF), Datuk Abdul Halim Kader berkata mereka berasa dihormati untuk menyertai 91 pertubuhan sukan antarabangsa sedia ada, yang sudah menikmati penjenamaan yang hebat bagi menjadi sebahagian daripada saluran Olimpik. 

“Perkongsian ini membuka jalan buat ISTAF dan fraterniti sepak takraw untuk mempamerkan dan mendedahkan secara meluas sukan sepak takraw kepada satu skop dunia sukan dan penduduk sejagat yang lebih meluas.

“ISTAF yakin bahawa sepak takraw akan mencapai penonton yang lebih banyak dan menyemai benih pembangunan sepak takraw menerusi Gerakan Olimpik,” katanya.

Olympic Channel telah mengumumkan bahawa ia sudah mencapai persetujuan dengan badan pentadbiran untuk sepak takraw, gusti lengan, catur, perahu naga,  ‘ice stock sport’ dan sukan menyelamatkan nyawa untuk bekerjasama membangunkan kandungan program siaran.

Olympic Channel dalam satu kenyataannya berkata perjanjian baharu itu termasuk perkongsian dengan persekutuan yang diiktiraf Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) seperti Persekutuan Catur Antarabangsa (FIDE), Persekutuan Ice Stock Sport Antarabangsa (IFI) dan Persekutuan Menyelamat Nyawa Antarabangsa (ILS). 

Tambahan pula, Persekutuan Perahu Naga Antarabangsa (IDBF), ISTAF, Persekutuan Gusti Lengan Dunia (WAF) menyertai persekutuan sukan antarabangsa lain dan pertubuhan pelbagai sukan dunia yang sebelum ini mempunyai perjanjian serupa  dengan Olympic Channel.

“Olympic Channel menyediakan platform untuk promosi semua sukan dan atlet dalam Gerakan Olimpik,” kata Pengurus Besar IOC Global Olympic Channel, Mark Parkman.   

Olympic Channel aktif dalam kerjasama dengan rakan kongsinya, persekutuan sukan untuk mempersembahkan liputan acara, liputan berita dan menyediakan program sendiri sebagai platform tambahan untuk mengagihkan kandungan yang melengkapi  siaran dan pengagihan semasa yang sudah diatur.  –  BERNAMA

 

888 dibaca
Berita Harian X