Selasa, 10 September 2019 | 8:35pm
Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed (kiri) ketika menyampaikan sumbangan kepada bekas atlet di Kompleks Kota Darul Naim. - NSTP/Zaman Huri Isa

YAKEB salur RM1.8 juta setahun bantu bekas atlet

KOTA BHARU: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) memperuntukkan sebanyak RM1.8 juta setiap tahun bagi membantu bekas-bekas atlet kebangsaan di seluruh negara yang memerlukan bantuan.

Pengerusinya, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeeb berkata, peruntukan itu bagi menjaga kebajikan bekas-bekas atlet yang sudah mengharumkan nama negara.

"Kami tidak lupa jasa-jasa mereka walaupun kami kekurangan dana. Kami tidak putus asa untuk mendapatkan peruntukan daripada pelbagai sumber.

"Pelbagai jenis bantuan yang telah kami berikan antaranya melibatkan bantuan perubatan, peralatan dan khairat kematian," katanya selepas majlis penyampaian sumbangan kerusi roda kepada atlet OKU di Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Penyampaian sumbangan itu disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Roslan Wan Hamat kepada tiga bekas atlet kebangsaan yang berasal dari Kelantan.

Noorul Ariffin berkata, sepanjang 12 tahun yayasan itu ditubuhkan, seramai 1,745 bekas atlet kebangsaan telah mendapat bantuan daripada pihaknya.

"Tahun ini sahaja RM1.2 juta telah dibelanjakan bagi membantu bekas-bekas atlet yang merangkumi bantuan perubatan, peralatan, khairat kematian dan sebagainya.

"Begitu juga setiap tahun kami menerima hampir 100 bekas atlet negara untuk berdaftar dengan kami bagi mendapatkan kebajikan selepas bersara," katanya.

Noorul Ariffin berkata pihaknya akan melancarkan sebuah tabung bagi mendapatkan dana bagi menampung perbelanjaan untuk tahun-tahun akan datang.

"Tabung itu akan dilancarkan bulan hadapan iaitu sempena Hari Sukan Negara. Selain itu kami juga akan adakan larian dan perlawanan golf untuk mengumpul dana," katanya.

-- BERNAMA

80 dibaca
Berita Harian X