Selasa, 10 September 2019 | 5:23pm
Pengurus Ragbi Wanita Malaysia, Tan Thiam Jin, (tiga dari kanan) dan Penolong Pengurus Ragbi Lelaki Malaysia, Muhammad Zyuraidi Abdul Majid, (tiga dari kiri) pada sidang media mengenai Team Malaysia Sukan Sea 2019 di Majlis Sukan Negara, Bukit Jalil. Turut Kelihatan, Jurulatih Ragbi Malaysia, Mohd Saizul Hafifi Mohd Noor, (dua dari kiri), Jurulatih Ragbi Wanita Malaysia, Muhammad Faiz Samsukhidir, (dua dari kanan), Atlet Ragbi Malaysia, Muhammad Nasharuddin Ismail, (kiri) dan Atlet Ragbi Wanita Malaysia, Rosliana Mohd Ridwan, (kanan). - Foto Azhar Ramli

Rombakan tak jejas peluang ragbi kekal emas di Filipina

KUALA LUMPUR: Rombakan dalam pasukan ragbi lelaki diharap dapat membantu Malaysia mengekalkan kilauan emas pada temasya Sukan SEA Filipina pada hujung tahun ini, kata jurulatih kebangsaan, Mohd Saizul Hafifi Mohd Noor.

Katanya, kemasukan tujuh pemain baharu daripada program universiti dan program pembangunan Kesatuan Ragbi Malaysia (MRU) itu dilihat memberi kesan positif buat pasukan negara ketika ini.

Menurutnya, selepas bergelar juara pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017), sasaran untuk temasya di Filipina itu adalah tinggi.

“Rombakan semula pemain dilakukan untuk temasya 2019 di mana kita membawa masuk pemain baharu. Pemain baharu yang diserap memberi kesan amat tinggi kepada pasukan.

“Jadi kita harap pemain baharu dapat menyesuaikan diri dengan pemain lama sekali gus memberikan komitmen tinggi serta kematangan yang baik untuk mengekalkan pingat emas,” kata Saizul sambil menjelaskan terdapat tujuh pemain baharu dan sembilan lagi adalah pemain lama dalam skuad KL2017.

“Kita kehilangan dua tiga pemain tapi tempat itu diisi pemain baharu dan harapannya agar pemain berkenaan dapat memberi impak besar kepada pasukan menuju ke Sukan SEA nanti,”.

Pada sidang media Team Malaysia Sukan SEA 2019 di Majlis Sukan Negara (MSN), di sini, hari ini, Saizul berkata antara negara pencabar di Filipina adalah Thailand kerana pasukan itu menunjukkan peningkatan selain Singapura.

Beliau dalam masa sama berpendapat Filipina bakal menjadi pencabar utama kerana bermain di laman sendiri, selain dijangka memanggil pemain naturalisasi bagi menggalas cabaran buat negara penganjur berkenaan.

“Pada akhir November nanti kita akan menyertai kejohanan kelayakan Olimpik di Korea dan matlamat kita untuk melihat prestasi pasukan sebelum ke Sukan SEA. Tiada mengatakan sasaran besar untuk ke Olimpik.

“Di sana, pasukan Filipina dan Singapura yang turut serta. Jadi saya rasa nanti kita boleh lihat prestasi kedua-dua pasukan dan menilai sebelum melakukan persiapan akhir ke Manila,” kata Saizul.

Ketika KL 2017, skuad ragbi 7 sebelah negara mencatat sejarah apabila merangkul pingat emas di selepas menundukkan Singapura, 22-7 dalam perlawanan akhir di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, Kelana Jaya.

Skuad ragbi wanita negara juga mencatatkan kejayaan membanggakan apabila meraih pingat gangsa selepas menumbangkan Filipina, 7-5.

95 dibaca
Berita Harian X