Jumaat, 6 September 2019 | 12:48pm
PENGARAH Primavalet, Dr Arshad Beg Mirzaja Hanjuan, menyampaikan tajaan kepada Ketua Pasukan Media Malaysia, Arep Kulal.

Piala Causeway: Pasukan Media Malaysia terima tajaan

BANGI: Pasukan Media Malaysia mendapat suntikan semangat apabila menerima tajaan daripada Primavalet menjelang Kejohanan Golf Piala Causeway yang akan berlangsung pada 10 dan 11 September ini di Kelab Golf Sentosa, Singapura.

Tajaan diserahkan oleh Pengarah Primavalet, Dr Arshad Beg Mirzaja Hanjuan, kepada Ketua Pasukan Media Malaysia, Arep Kulal pada majlis ringkas di butik Primavalet di Bangi.

“Primavalet sentiasa aktif dalam program kemasyarakatan dan perpaduan bersama Yayasan Kebajikan Negara (YKN) dan kini menjadikan sukan sebagai satu cabang program CSR kami.

“Justeru, apabila diajukan permohonan tajaan ini, saya merasakan inilah masa yang paling sesuai untuk saya menyumbang kepada pihak media yang banyak membantu saya selama ini,” katanya.

Primavalet yang ditubuhkan pada tahun 2017 adalah hab fesyen terbesar di Malaysia dengan 25 pereka fesyen yang menghasilkan lebih 300 model pakaian.

Dr Arshad berharap tajaan itu mampu memberi semangat kepada pemain pasukan Malaysia untuk bersungguh-sungguh mengharumkan nama Malaysia.

“Kalah dan menang adat dalam pertandingan namun saya berharap pemain Malaysia harus bermain bersungguh-sungguh demi memastikan kejayaan milik pasukan Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pasukan Media Malaysia, Arep Kulal, berkata pasukan negara dalam keadaan terbaik dan bersedia untuk melengkapkan hatrik selepas memenangi dua edisi terdahulu.

"Saya berharap mereka akan menunjukkan semangat yang tinggi dan mencipta kemenangan selain mengeratkan hubungan silaturahim,” katanya.

Kejohanan Golf Piala Causeway yang memasuki edisi ke-12 menemukan pengamal media dari Malaysia dan Singapura yang akan bertarung selama dua hari mengikut format Piala Ryders.

Tuan rumah kejohanan dibuat mengikut giliran dengan Malaysia menjadi tuan rumah tahun lalu.

Malaysia memenangi Piala Causeway sebanyak tujuh kali dan dalam misi untuk melengkap hatrik kejuaraan sejak tahun 2017.

Berita Harian X