Khamis, 29 Ogos 2019 | 3:19pm
KETUA Pasukan Media Malaysia, Arep Kulal (kiri) dan Pengurus Kanan Pemasaran Adidas Malaysia Eileen Foong (tengah) bersama Penolong Ketua Pasukan Media Malaysia (kanan) ketika majlis penyerahan tajaan.

Pasukan Media Malaysia dapat tajaan pertahan Piala Causeway

KUALA LUMPUR: Pasukan Media Malaysia ke Kejohanan Golf Piala Causeway pada 9 dan 10 September di Kelab Golf Sentosa, Singapura, mendapat tajaan daripada pengeluar pakaian sukan terkenal, Adidas.

Pengurus Kanan Pemasaran Adidas Malaysia, Eileen Fong, berkata tajaan pakaian itu sebagai sokongan kepada misi pasukan Media Malaysia mempertahankan Piala Causeway yang dimenangi tahun lalu.

“Kami sentiasa menjalinkan hubungan yang baik dengan pihak media dan apabila ditawarkan untuk menjadi rakan penaja kepada pasukan Media Malaysia, kami tidak teragak-agak untuk bersetuju dan menjadi sebahagian daripada pasukan ini,” katanya pada majlis penyerahan tajaan di sini.

Sementara itu, ketua pasukan Media Malaysia, Arep Kulal, berkata tajaan pihak Adidas Malaysia itu membantu melancarkan lagi persiapan pasukan.

Sambil mengharapkan pembabitan lebih banyak syarikat korporat, beliau berkata tajaan yang diterima akan menjadi pembakar semangat pemain negara.

“Tajaan daripada Adidas amat penting buat pasukan kerana perbelanjaan yang tinggi di Singapura menjadi cabaran pengurusan pasukan kali ini,” katanya.

Kejohanan Golf Piala Causeway yang memasuki edisi ke-12 tahun ini menemukan pengamal media dari Malaysia dan Singapura yang akan bertarung selama dua hari mengikut format Ryders Cup.

Malaysia sudah memenangi Piala Causeway sebanyak tujuh kali dan dalam misi melengkapkan hatrik kejuaraan sejak tahun 2017.

Berita Harian X