Selasa, 27 Ogos 2019 | 6:29pm
Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

PSM hantar surat 'cinta' kepada Syahir, Zulkifli

KUALA LUMPUR: Isu antara Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dengan dua tekong emasnya bagaikan tiada kesudahannya selepas badan induk itu mengesahkan menghantar surat tunjuk sebab, semalam.

Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail, berkata menerusi surat berkenaan, Syahir Rosdi dan Zulkifli Abd Razak diminta menjawab surat berkenaan mengapa tindakan tidak boleh diambil terhadap mereka.

"Kami sudah menghantar surat tunjuk sebab yang bertarikh 26 Ogos 2019 dan kami memberikan tempoh 14 hari untuk mereka menjawabnya.

"Tindakan ini dibuat selepas kedua-dua pemain berkenaan mempersoalkan kewajaran untuk kami mengambil tindakan dengan apa yang dilakukan mereka sebelum ini," kata Ahmad ketika dihubungi BH Sukan, hari ini.

Ahmad ketika ini berada di Bangkok, Thailand bersama barisan pemain negara yang sedang berjuang dalam kempen Piala Raja Thai.

Sebagai rekod, Syahir dan Zulkifli digugurkan oleh PSM atas alasan disiplin tetapi kedua-dua pemain berkenaan menafikan dakwaan itu sebelum membuat membuat keputusan bersara bulan lalu.

Syahir memainkan peranan penting dalam membantu Malaysia menamatkan kemarau 10 tahun dengan memenangi pingat emas Sukan SEA pada 2015 diikuti edisi 2017.

Gandingannya bersama Zulkifli menamatkan kemarau 24 tahun untuk emas sepak takraw di Sukan Asia tahun lalu selepas kali terakhir muncul juara di Hiroshima pada 1994.

Hubungan tegang itu dilihat mampu pulih baru-baru ini dengan campur tangan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Majlis Sukan Negara (MSN).

Namun, kini sebaliknya berlaku apabila PSM mengeluarkan surat tunjuk sebab ke atas kedua-dua pemain itu sekali gus merencatkan persiapan kem negara untuk ke Sukan SEA Filipina 2019.

Berita Harian X