Sabtu, 24 Ogos 2019 | 10:07pm

KGPA sedia anjur Kejohanan Golf Amatur Terbuka KL

KUALA LUMPUR: Kelab Golf Perkhidmatan Awam (KGPA) sudah bersedia menganjurkan Kejohanan Golf Amatur Terbuka Kuala Lumpur yang dijadualkan bermula Selasa hingga Khamis ini.

Pengerusi Kejohanan Golf Amatur Terbuka Kuala Lumpur, Datuk Mahat Bahari berkata lapangan KGPA disiapkan lebih awal selepas turut menjadi venue Kejohanan Golf Persahabatan sempena pertabalan Yang di-Pertuan Agong, bulan lalu.

“KGPA sudah melakukan kerja naik taraf dan penyelenggaraan lebih awal dan kini lapangan KGPA berada dalam keadaan terbaik.

"Kerja penyelenggaraan terus dilakukan bagi memastikan lapangan KGPA berada dalam keadaan terbaik sempena Kejohanan Golf Amatur Terbuka Kuala Lumpur," kata Mahat.

Mahat dalam pada itu optimis kerja naik taraf yang dilakukan akan menjadikan permukaan dan  wajah ‘green’ lebih mencabar dan sukar untuk dikuasai.

“Kita melakukan kerja naik taraf di beberapa ‘green’ bagi menambah cabaran buat pemain," katanya.

Malaysia menerusi Persatuan Golf Malaysia (MGA) dan Akademi Golf Kebangsaan UUM menghantar seramai lebih 30 pemain.

Antara pemain pilihan ialah Norharith Norhadi, Sheikh Abd Razak Eawof dan Marcus Limyang dijangka akan jadi taruhan terbaik pada penganjuran kali ini.

Berita Harian X