Jumaat, 2 Ogos 2019 | 9:32pm
WAN Sukairi (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada pengurus pasukan sepak takraw Terengganu, Sayed Hassan Sayed Abd Kadir sambil disaksikan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail (tengah) pada majlis makan malam sempena Kejohanan Sepak Takraw Piala Emas Khir Johari di sebuah hotel di sini semalam. NSTP/Malik Muhamad
WAN Sukairi (dua dari kiri) menyampaikan cenderahati kepada pengurus pasukan sepak takraw Terengganu, Sayed Hassan Sayed Abd Kadir sambil disaksikan Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail (tengah) pada majlis makan malam sempena Kejohanan Sepak Takraw Piala Emas Khir Johari di sebuah hotel di sini semalam. NSTP/Malik Muhamad

Peluang Zulkifli, Syahir belum tertutup

KUALA TERENGGANU: Peluang dua tekong emas negara, Zulkifli Abd Razak dan Mohd Syahir Rosdi untuk kembali disenarai dalam skuad kebangsaan bagi temasya Sukan SEA di Filipina pada November depan masih belum tertutup.

Bagaimanapun Presiden Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail tidak mahu memberi jaminan 100 peratus selain belum lagi bersedia untuk mengumumkan perkara berkenaan.

Sebaliknya beliau menyatakan masih terlalu awal kerana perlu menunggu keputusan rasmi daripada lembaga tatatertib terlebih dahulu.

"Masih terlalu awal untuk saya katakan sama ada dua pemain itu (Zulkifli dan Syahir) akan terpilih mewakili negara pada Sukan SEA November atau sebaliknya kerana kami perlu menunggu dan menghormati keputusan daripada lembaga tatatertib yang dipengerusikan oleh jawatankuasa lain," kata Ahmad.

Beliau ditemui pada majlis makan malam sempena kejohanan Piala Emas Khir Johari ke-55 di sebuah hotel di Kuala Terengganu, semalam yang dirasmikan Pengerusi Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Turut hadir Timbalan Presiden PSM, Datuk Akramuddin Abdul Aziz, Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu, Ibni Amin Busu dan Presiden Persatuan Sepak Takraw Terengganu, Mohd Abas Mamat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai  perkembangan terkini dua tekong emas kebangsaan itu yang sebelum ini dilanda kontroversi dengan badan induk sepak takraw negara itu.

Sebelum ini Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sudah mengarahkan kemelut antara dua pemain itu denganPSM dapat diselesaikan dengan baik oleh Majlis Sukan Negara (MSN).

Berita Harian X