Jumaat, 2 Ogos 2019 | 9:06pm
CAITLYN Jane Ambrose bergambar bersama Mercedes A200 yang dimenanginya selepas melakukan pukulan selubang di Kejohanan Terbuka Amatur Wanita RSGC, hari ini.
CAITLYN Jane Ambrose bergambar bersama Mercedes A200 yang dimenanginya selepas melakukan pukulan selubang di Kejohanan Terbuka Amatur Wanita RSGC, hari ini.

Tuah pukulan selubang Caitlyn

KUALA LUMPUR: Tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu. 

Itu pepatah paling sesuai buat pemain golf amatur wanita negara, Caitlyn Jane Ambrose yang memenangi hadiah utama Mercedes A200 selepas berjaya melakukan pukulan selubang pada Kejohanan Terbuka Amatur Wanita RSGC, hari ini.

Dia yang mewakili Persatuan Golf Wanita Malaysia (MALGA) melakukannya dalam aksi di lubang keempat Kelab Golf Diraja Selangor tatkala baharu saja mendapat lesen memandu.

"Sebelum melakukan pukulan itu, saya dapat merasakan ia akan menjadi pukulan yang istimewa. Kami semua berada dalam keadaan senyap ketika bola itu menuju ke lubang. 

"Saya menjerit dengan kuat sebagai tanda tidak percaya sebaik bola memasuki lubang. Saya hanya baru mendapat lesen memandu dan kini saya mendapat pula kereta. Ia amat manis," katanya.

Kejohanan Terbuka Amatur Wanita RSGC edisi ke-45 membuka tirainya hari ini dan akan berakhir pada Ahad ini.

Kenderaan yang berharga RM227,888 itu menjadi sebahagian daripada hadiah utama pertandingan yang mendapat tajaan daripada NZWheels Sdn Bhd. Sebagai rekod, Caitlyn hanya mula menjadi ahli MALGA sejak tiga bulan lalu.

Berita Harian X