Selasa, 30 Julai 2019 | 8:39am
Ahmad hadir pada mesyuarat jawatankuasa pemilihan atlet Sukan SEA 2019, di Wisma Majlis Olimpik Malaysia, Kuala Lumpur, semalam. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin
Ahmad hadir pada mesyuarat jawatankuasa pemilihan atlet Sukan SEA 2019, di Wisma Majlis Olimpik Malaysia, Kuala Lumpur, semalam. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

PSM, MSN sedia bincang isu elaun dua tekong

KUALA LUMPUR: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) bersedia ‘duduk semeja’ dengan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi menyelesaikan isu elaun membabitkan dua tekong emas negara.

Bagaimanapun, Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail, menjelaskan perbincangan itu hanya akan dijalankan selepas berakhir saingan Piala Emas Khir Johari di Terengganu dari 31 Julai hingga 4 Ogos ini.

“Setakat ini saya belum terima apa-apa surat,” jawab Ahmad ketika ditanya berhubung arahan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman untuk perkara itu diselesaikan oleh MSN.

“Apa yang saya boleh jelaskan memang Ketua Pengarah MSN (Datuk Ahmad Shapawi Ismail) ada bertemu dengan barisan jurulatih dan beliau sudah menyampaikan hasrat untuk bertemu pihak pengurusan.

“Tetapi bukan sekarang ini kerana dalam masa terdekat kami perlu memberi tumpuan bagi kejohanan Piala Emas Khir Johari di Terengganu. Selepas itu mungkin boleh,” katanya.

Ahmad berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri mesyuarat pemilihan atlet di Majlis Olimpik Malaysia (MOM) yang menyaksikan skuad lelaki dan wanita negara diletakkan dalam kategori A bagi bertanding di Sukan SEA di Filipina, November ini.

Terdahulu, Syed Saddiq baru-baru ini mengarahkan MSN menyelesaikan isu pengguguran tekong nombor satu negara, Mohd Syahir Rosdi dan Zulkifli Abd Razak yang berpunca daripada isu elaun.

Isu berkenaan dilihat secara serius oleh Syed Saddiq kerana ia membabitkan atlet yang sudah menyumbang emas kepada negara di Sukan SEA dan Asia.

Pada masa sama, Ahmad turut membayangkan penggantungan sementara itu dikekalkan selagi kedua-dua atlet berkenaan tidak menjawab surat tunjuk sebab.

Berita Harian X