Isnin, 29 Julai 2019 | 8:59am

India mahu boikot Sukan Komanwel 2022

NEW DELHI: Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) akan mengadakan pertemuan rasmi dengan Kementerian Sukan India selepas badan induk sukan negara itu mengancam mahu memboikot temasya Sukan Komanwel 2022 di Birmingham yang tidak menyenaraikan acara menembak.

Pada edisi lalu, India muncul juara keseluruhan acara menembak di Sukan Komanwel Gold Coast, Australia, dengan membawa pulang 16 pingat termasuk tujuh emas daripada keseluruhan 66 pingat yang dipertandingkan, sekali gus muncul kontinjen ketiga terbaik.

Bulan lalu, Jawatankuasa Penganjuran Sukan Komanwel Birmingham mengumumkan menggugurkan acara menembak dan memanah pada temasya 2022 sebaliknya memilih acara kriket T20 wanita, bola tampar pantai dan ping pong para.

Keputusan pemilihan mengenai tiga acara baharu itu akan dimuktamadkan oleh ahli gabungan Persekutuan Sukan Komanwel.

Majlis Olimpik India sebelum ini menulis aduan kepada Kementerian Sukan bahawa peluang negara itu akan terjejas jika acara menembak dimansuhkan.

"Pencapaian kita akan terjejas kerana jumlah keseluruhan pingat dan kedudukan ranking kita akan merosot,” kata majlis itu kepada Menteri Sukan, Kiren Rijiju.

"Kami akan lakukan protes dan tidak akan mengambil bahagian dalam CWG 2022  di UK."

Majlis Olimpik India juga akan mengadakan pertemuan susulan dengan Rijiju berhubung isu berkenaan.

Presidennya, Narinder Dhruv Batra juga mengesahkan tidak akan menghantar wakilnya ke Kongres Sukan Komanwel yang akan bermesyuarat di Rwanda, awal September ini selain menarik diri daripada dua pencalonan dalam pemilihan kali ini.

CGF dalam reaksinya menerusi surat memberitahu bahawa pihaknya “amat berbesar hati mahu India mengambil bahagian di Birmingham 2022".

"Kami akan menemui rakan kami di India bagi membincangkan hasrat mereka dan mengambil perhatian perkembangan seterusnya,” kata kenyataan itu. – AFP

Berita Harian X