Selasa, 23 Julai 2019 | 8:46pm
Ahmad Faedzal bersama bekas ratu renang negara, Nurul Huda Abdullah merangkap Timbalan Ketua Kontinjen (CDM) II bertemu dengan pemain bola jaring kebangsaan selepas meninjau aktiviti pasukan bola jaring Malaysia, di UPM Serdang, hari ini. - NSTP/Aizuddin Saad

Persediaan mental hadapi Sukan SEA Manila

SERDANG: Kontinjen negara ke Sukan SEA Filipina dinasihatkan membuat persediaan daripada sudut mental bagi menghadapi  temasya dwi tahunan ke-30 itu November ini.

Timbalan Ketua Kontinjen, Ahmad Faedzal Md Ramli berkata, isu perbezaan budaya, makanan halal dan juga pergerakan atlet bakal memberi cabaran apatah lagi ada tiga kluster utama pertandingan iaitu di Manila, Clark dan Subic selain beberapa lagi venue kecil.

"Temasya kali ini membabitkan tiga kluster utama selain beberapa lokasi lain yang sudah pasti menjadi satu cabaran daripada segi pergerakan," kata Ahmad Faedzal selepas melawat persiapan atlet ragbi tujuh sebelah dan bola jaring di Universiti Putra Malaysia (UPM), hari ini. 

"Budaya dan makanan juga berbeza. Jadi mereka perlu bersedia daripada sudut mental."

Bagaimanapun Ahmad Faedzal berkata, pihaknya sedang merangka strategi terbaik bagi memudahkan keperluan atlet di sana dengan berkata: "Kontinjen negara sedang merangka strategi terbaik selain mewujudkan urusetia di setiap kluster utama.

"Kami akan pastikan atlet mendapatkan sokongan terbaik daripada setiap aspek seperti sains sukan untuk membolehkan mereka beraksi pada tahap terbaik."

Mengulas mengenai lawatannya hari ini, Ahmad Faedzal menjelaskan, moral pasukan bola jaring dan ragbi tujuh sebelah begitu tinggi dalam misi mereka mempertahankan pingat emas di Filipina.

"Petang ini, kami melawat dua sukan yang muncul juara pada 2017. Moral mereka tinggi dan mempunyai semangat bagi mempertahankan pingat emas. Mereka ini menerima sokongan yang baik kerana berada di bawah program MSN (Majlis Sukan Negara). 

“Saya yakin mereka ini mampu mempertahankan emas di Filipina nanti," kata Ahmad Faedzal.

Berita Harian X