Khamis, 18 Julai 2019 | 9:44pm
KETUA Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara​ (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli. - Foto Owee Ah Chun

Kesesakan di Manila bimbangkan kontinjen negara ke Sukan SEA

KUALA LUMPUR: Selain penyediaan makanan halal, isu kesesakan lalu lintas yang teruk di Manila, juga menjadi kebimbangan kontinjen Malaysia yang akan bertanding pada temasya Sukan SEA 2019 nanti.

Ketua Pegawai Eksekutif Institut Sukan Negara​ (ISN), Ahmad Faedzal Md Ramli berkata, perkara itu adalah antara yang akan dibangkitkan pada mesyuarat ketiga bersama Penganjur Sukan SEA Filipina (PHISGOC) Oktober ini.

"Kita bimbang kesesakan itu akan menjejaskan kelancaran pergerakan atlet ke venue pertandingan, memandangkan ​terdapat perubahan drastik di mana 21 acara akan dipertandingkan di bandar itu, ​berbanding hanya dua acara saja pada awalnya.

"Banyak kemungkinan akan berlaku, kerana ketika berlangsungnya temasya tersebut (November), ia sudah menghampiri musim perayaan Krismas dan dijangka bandar Manila akan sibuk dan sesak," ​katanya selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara UPSI dan Universal Fitness and Leisure Sdn Bhd (UFL) di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Faed​zal berkata, ​PHISGOC​ turut memberi jaminan perkampungan sukan di Clark akan siap sepenuhnya menjelang 31 Ogos ini.

"Itu jaminan yang diberikan dan pada masa sama, PHISGOC​ memang perlu memastikan perkampungan sukan itu siap sepenuhnya pada 31 Ogos depan. Malah, semasa kunjungan yang dilakukan awal bulan ini juga, kami diberitahu dan melihat sendiri lebih 8,000 pekerja sedang bertungkus lumus​​​ menyiapkan tempat tersebut," katanya.

​Pada 1 hingga 7 Julai lalu, ​Ketua kontinjen Malaysia ke Sukan SEA 2019, Datuk Megat Zulkarnain Omardin​ bersama timbalannya, Ahmad Faed​zal dan Nurul Huda Abdullah menghadiri mesyuarat kedua dengan PHISGOC​, bagi membincangkan progres persediaan Filipina dalam menganjurkan kejohanan dwitahunan berkenaan.

​Sebanyak 15 sukan akan dipertandingkan di Subic manakala 19 di Clark; 21 di Manila dan sembilan lagi di Luzon serta lain-lain tempat.

-- BERNAMA

Berita Harian X