Ahad, 14 Julai 2019 | 9:35pm
Isac (dua kanan), Lokman (tiga kiri) dan Mustapha (dua kiri) bersama lima juara pusingan kelapan di Kelab Golf Danau, Bangi, hari ini.

5 dinobat juara pusingan kelapan WAGC

KUALA LUMPUR: Lima lagi pemain tempatan dinobatkan sebagai juara mengikut kategori masing-masing pada pusingan kelapan kelayakan Kejohanan Pemain Golf Amatur Dunia (WAGC) yang diadakan di Kelab Golf Danau, Bangi, hari ini.

Mereka adalah Amiruddin Ibrahim yang memiliki handicap (hcp) 5 dengan catatan 68 pukulan nett bagi kategori A; Mohd Shukri Mustapha (hcp 7) bagi kategori B dengan catatan 70 nett; Hamdan Abd Rahman (hcp 14) bagi kategori C dengan catatan 66 nett; Fariul Fadzil Abd Rahim (hcp 20) bagi kategori D dengan 67 nett dan Azmi Ismail (hcp 24) bagi kategori E dengan 66 nett.

Seramai 108 pemain amatur bersaing merebut tempat pada pusingan kelapan ini. Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Presiden WAGC, Isac Saminathan. Hadir sama pengerusi penganjur, Lokman Ishak.

Semua pemenang saingan Kelab Golf Danau ini akan berentap pada pusingan akhir kebangsaan di Sabah Golf & Country Club, Kota Kinabalu pada 15 September ini. Pemenang peringkat ini akan mewakili Malaysia berentap pada pusingan akhir bersama 40 pemenang antarabangsa dari seluruh dunia di Kota Kinabalu pada 19 hingga 26 Oktober.

Dalam pada itu, Safiallah Zakaria memenangi hadiah cabutan bertuah utama pusingan kelapan ini berupa tiket penerbangan pergi balik Kuala Lumpur-Phnom Phenh tajaan Penerbangan Malaysia. Ia disampaikan oleh Ketua Unit Pembangunan Perniagaan Penerbangan Malaysia, Mustapha Kamal.

Berita Harian X