Selasa, 9 Julai 2019 | 12:42am
SHAABAN menunjukkan kaki palsu yang menggantikan kaki kirinya selepas dipotong. - Foto Nazri Abu Bakar
SHAABAN menunjukkan kaki palsu yang menggantikan kaki kirinya selepas dipotong. - Foto Nazri Abu Bakar

Shaaban jumpa 'penawar'

MELAKA: Bekas pemain golf profesional negara, Shaaban Hussin, 39, memberi tumpuan penuh kepada pembangunan bakat muda dalam sukan terbabit selepas lumpuh sebelah kiri badan dan kudung kaki kiri akibat kemalangan.

Baginya, kekurangan fizikal bukan penamat perjuangannya untuk menyaksikan lebih ramai jagoan muda lahir sekali gus melonjak nama negara di persada dunia.

Katanya, dia mengerah segala tenaga, idea dan pengalaman untuk sentiasa menyertai mana-mana program pembangunan sukan itu di seluruh negara dalam misi menyuntik semangat dan motivasi kepada bakat baharu.

“Malah kini saya turut mencurah ilmu menerusi progam pembangunan sukan golf di salah sebuah sekolah di Rawang membabitkan 50 peserta sejak beberapa bulan lalu,” kata Shaaban.

“Apa yang membanggakan hasilnya kian menyerlah dengan ada antara mereka sudah mula mencipta kejayaan di peringkat remaja.”

SHAABAN menyampaikan hadiah kepada pemenang Kejohanan Golf Remaja Melaka (MJGC). - Foto Nazri Abu Bakar 
SHAABAN menyampaikan hadiah kepada pemenang Kejohanan Golf Remaja Melaka (MJGC). - Foto Nazri Abu Bakar 

Shaaban berkata demikian semasa memberi tip dan idea kepada pemain muda sempena Kejohanan Golf Remaja Melaka (MJGC) kali pertama dianjurkan Tiara Melaka Golf & Country Club, Bukit Katil, Melaka.

Menurutnya, selepas kaki kirinya terpaksa dipotong akibat kemalangan pada 31 Mac 2016, hidupnya berubah 100 peratus.

Dia yang hanya tinggal tiga bulan untuk bersaing di pentas Olimpik Brazil ketika itu, terpaksa melupakan impian berkenaan selepas motosikal ditunggangnya terbabas ketika cuba mengelak sebuah kereta yang berhenti di tepi Lebuhraya Guthrie.

Shaaban berkata, peristiwa itu sentiasa menjadi ingatan buatnya termasuk perit dan kesukaran yang dilalui selepas musibah berkenaan, namun selepas melihat ramai anak muda negara semakin ramai bersaing di pentas tertinggi dunia, ia menjadi penawar kepada dirinya.

Katanya, semangat, fokus dan komitmen harus diberi sepenuhnya untuk berjaya dalam sukan berkenaan dengan setiap individu harus terus belajar daripada mana sumber sekali pun untuk kemajuan.

Malah, dia yang pada mulanya hanya melakukan tugasan sebagai caddy di Kedah mengakui banyak belajar ketika menjalankan kerja berkenaan sebelum mampu mencipta pelbagai kejayaan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Dia yang kini aktif menjalankan perniagaan barangan sukan golf berjanji akan terus aktif menyumbang kepada pembangunan sukan berkenaan berikutan jiwa golf dalam dirinya tidak pernah luntur.

Berita Harian X