Khamis, 4 Julai 2019 | 10:03pm
Yasmin (dua dari kiri) bersama jawatankuasa penganjur memperaga piala yang menjadi rebutan dan Mercedes A200 untuk hadiah ‘hole in one’ .

80 pemain berentap golf amatur Royal Selangor

KUALA LUMPUR: Seramai 80 pemain golf amatur terbaik wanita termasuk dari sekitar rantau ini bakal berentap pada Kejohanan Terbuka Amatur Wanita Royal Selangor Golf Club (RSGC) di sini, pada 2 hingga 4 Ogos ini.

Pengerusi penganjur kejohanan, Datuk Yasmin Yusuff berkata, selain Malaysia, pemain lain adalah daripada Indonesia, Jepun, Filipina, Vietnam, Hong Kong, Taiwan serta Australia yang buat pertama kali menghantar penyertaan.

Katanya, pada kejohanan kali ini sebanyak empat trofi kejuaraan bakal menjadi rebutan iaitu Piala Tuanku Bahiyah (juara gross), Piala Toh Puan Norashikin (juara nett), Piala Datin Azian (juara berpasukan gross) dan Piala Clarissa Lee (juara berpasukan nett).

“Pada edisi kali ini, kita berjaya menarik penyertaan beberapa pemain golf paling berbakat dengan kebanyakanya diiktiraf oleh World Amatur Golf Ranking (WAGR) iaitu ranking menyenaraikan pemain wanita terbaik seluruh dunia.

“Penyandang juara bagi kategori individu gross, Geraldine Wong yang mewakili Kelab Golf Bukit Jalil turut akan bersaing,” katanya pada sidang media di RSGC, di sini, semalam.


Yasmin (empat dari kiri) dan jawatankuasa kejohanan memperagakan trofi yang menjadi rebutan serta kereta Mercedes A200 untuk hadiah ‘hole in one’.

Hadir sama Kapten RSGC, Datuk Chang See Tum; Pengarah Kejohanan, Dr Chew Seng Poh dan Pemangku Pengurus Besar RSGC, Jack Cheong.

Kejohanan Terbuka Amatur Wanita RSGC adalah antara empat pertandingan golf wanita utama di Malaysia ketika ini yang mendapat pengiktirafan WAGR apabila disenaraikan dalam kategori D dan terulung di negara ini anjuran sebuah kelab golf.

Antara pemain terkenal wanita yang pernah menjuarai kejohanan ini sebelumnya adalah Lim Ai Lian (1991,1997,1998) dan Lim Siew Ai (1996).

Bagi kejohanan kali ini, penganjur turut menyediakan hadiah selubang berupa sebuah kereta Mercedes A200, sebentuk cincin berlian mutiara South Sea La Putri bernilai RM16,000 dan jam mewah jenama Titoni.

Maklumat lanjut mengenai kejohanan boleh diperolehi dengan melayari http://lao.thersgc.com/.

Berita Harian X